Sepintas Lalu Langit Minggu Ini
(26 Feb - 3 Mac 2012)
26 Feb – 3 Mac
Sekali Imbas Waktu Kelihatan Planet-planet Utama
Senja (Maghrib-Isya) | Menjelang tengah malam (10am-12am) | Tengah malam (12am-2 am) | Tahajud (2 am – 5 am) | Sekitar Subuh (5 am-7am) |
---|---|---|---|---|
Zuhrah, Musytari. Utarid | Musytari,Marikh, Zuhal | Marikh,Zuhal | Marikh,Zuhal | Marikh,Zuhal. Komet Garradd |
Sebelah Petang
Bulan
Bulan sudah kembali ke langit petang. Bentuk sabitnya semakin membesar. Bagi saya, inilah antara waktu yang paling bagus untuk meneropongnya menerusi teleskop.
Permukaan akan kelihatan begitu 'timbul', seolah-olah 3D!
Jika anda tidak mempunyai teleskop, gunalah binokular kerana ia mampu juga menunjukkan ciri-ciri permukaannya yang begitu kompleks!
Zuhrah
Sesiapa yang belum lihat Zuhrah, amatlah ruginya. Planet ini begitu dominan pada waktu senja, terus menyinari langit kawasan sebelah barat.
Ia mengekalkan ketinggian (altitud) untuk minggu ini, tetapi ia sedang perlahan-lahan beranjak ke kanan (atau ke utara).
Saya amat galakkan anda mencuba melihatnya menerusi teleskop, kerana ia semakin besar dan menuju ke fasa seperti 'bulan separuh'.
Musytari
Musytari semakin rendah di langit.
Ia semakin menghampiri ke Zuhrah, menuju ke tarikh 13/14/15 Mac, yang mana ia dan Zuhrah akan berdansa bersama-sama menghiasi langit senja dengan begitu indah sekali.
Bulan akan singgah berhampiran dengan planet ini pada 26 Feb 2012.
Siap sedia kamera anda semua. Bermula minggu ini dan sepanjang bulan Mac, begitu banyak formasi indah di langit melibatkan Musytari, Zuhrah dan Bulan!
Utarid
Utarid semakin tinggi di ufuk barat, sekitar waktu Maghrib. Walaupun kecerahannya akan tinggi, tetapi ia terpaksa berlawan dengan cahaya senja matahari, menyebabkan ia agak 'tricky' untuk menjejakinya.
Untuk minggu ini, ia berada hampir-hampir tepat di Barat. Gunalah kompas untuk cari arah barat, dan tenunglah di kawasan berhampiran ufuk. Kalau ada binokular lagi bagus, dan juga jika anda di tepi pantai, kebarangkalian untuk melihatnya lebih tinggi.
Selepas Isya'
Marikh
Marikh sekarang semakin galak mengawal langit timur. Sekitar jam 9 malam, ia sudah cukup tinggi untuk membolehkan kita melihatnya dengan mata.
Ia sangat cerah, dan warna merah dan jingganya sungguh jelas.
Pada 3 Mac nanti, tepatlah ia berada di posisi istiqbal. Ia akan terbit sebaik sahaja matahari terbenam!
Menjelang Tengah Malam
Zuhal
Zuhal semakin awal waktu terbitnya. Paling sesuai ialah lihat sekitar jam 11 malam, yang mana ia sudah agak tinggi dari ufuk langit timur.
Cubalah lihatnya menerusi teleskop, kerana bentuk gelangnya amat mengasyikkan.
Sumber : Falak Online
No comments:
Post a Comment