Wednesday, November 14, 2012

Selamat Menyambut Awal Muharam 1434 H


DOA AWAL DAN AKHIR TAHUN - ADAKAH IA BENAR ATAU BATHIL?

SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARAM 1434 H

Insya Allah pada kali ini, kita akan membuat kesimpulan/ringkasan mengenai isu amalan awal muharam. Untuk memudahkan kita, Kami akan mengkhususkan kesimpulan kita ini berkisar mengenai amalan doa awal dan akhir tahun.

Berikut adalah doa yang dimaksudkan:

Awal tahun
"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya. Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku melakukan larangan-Mu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab-Mu yang ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan supaya aku bertaubat. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada Engkau, ya Allah yan Karim yan Zal Jalali Wal Ikram. Terimalah permohonanku ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku terhadap-Mu ya Karim. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda juga sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".

Akhir tahun
"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda dan sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu yang maha Agung dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon daripada Engkau perlindungan daripada syaitan yang direjam, pengikutnya, tenteranya dan penolongnya dan aku emohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda dan sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".

Manakala berikut ini adalah fadhilat serta kaedah pembacaan yang sering kelihatan:

Ibnu Abbas berkata: "Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malikat memeliharanya pada tahun itu".

Selepas doa(awal tahun) dibaca, berkatalah syaitan, "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu, Allah mengampunkannya setahun".

Selepas dibaca doa akhir tahun, syaitan berkata, "Telah amanahlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan".

Bacalah doa awal tahun berikut sebanyak tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijah.

Bacalah doa akhir tahun sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada malam 1 Muharam.

Kami telah cuba untuk mencari serta menjejak kesemua fadhilat serta kaedah pembacaan di atas, namun sayangnya hasil pencarian kami tidak membuahkan sebarang hasil. Bukan hanya kitab-kitab hadis sittah, malahan kitab hadis dhaif dan palsu juga telah kami cuba mencarinya namun hasilnya serupa, hampa.

Bukan di situ sahaja usaha kami, bahkan fatwa-fatwa dan sumber dari ulama-ulama luar negara selain nusantara telah kami selongkar, tapi juga tidak membuahkan hasil. Maka kami telah membuat kata putus bahawa semua fadhilat serta kaedah pembacaan yang dinyatakan di atas adalah batil dan tidak sabit pada nas al-Quran dan hadis sahih.

Rasulullah saw telah bersabda dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari yang beerti:
Barangsiapa yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak ada hubungan dengan urusan kita, maka ia tertolak.

Maka di sini telah jelas bahawa barangsiapa yang mengamalkan amalan awal Muharam(Doa Awal dan Akhir Tahun), beriqtikadkan bahawa ia mempunyai kelebihan sepertimana yang digambarkan, apatah lagi mengatakan amalan ini adalah sunnah Rasulullah saw, maka amalannya tertolak. Dan Allah Rasulullah saw juga telah memberi amaran kepada mereka yang berdusta terhadap baginda saw dalam hadis sahih yang bermaksud:
Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku dengan sengaja, maka sediakanlah tempat duduknya di dalam neraka. Hadis Mutawtir

Ibnu Masud pernah berkata yang bermaksud:
Hendaklah anda sekalian mengikuti apa saja yang dibawa oleh Rasulullah saw dan jangan anda mengada-adakan sesuatu yang baru. Sesungguhnya sudah cukup bagi anda sekalian(sunnah yang dibawa oleh Rasulullah saw).

Ibnu Abbas juga pernah berkata:
Hendaklah anda sentiasa bertaqwa kepada Allah dan beristiqamah. Ikutilah(apa saja yang disunnahkan oleh Rasullah saw) dan janganlah anda mengada-adakan sesuatu yang baru.

Kesimpulan


Doa pada asal memang terdapat dalam Islam. Dalilnya cukup banyak. Baik di dalam Al-Quran maupun hadis-hadis sahih. Namun begitu, terdapat juga sesetengah pihak yang menaylahgunakan konsep berdoa itu yang sebenar. Mereka menciptakan waktu-waktu khas yang kononnya mustajab yang tidak sabit dari al-Quran dan hadis, mereka menciptakan fadhilat-fadhilat yang kononnya memberi ganjaran apabila dilakukannya dan bermacam-macam lagi. Kesan dari itu wujudlah sepertimana yang sedang kita bincangkan ini iaitu doa awal dan akhir tahun.

Kami berpendapat adalah tidak salah untuk dibacakan doa-doa tersebut. Kerana berdoa memanglah digalakkan. Tetapi doa tersebut tidaklah seharusnya dijadikan satu amalan yang dilakukan hanya kerana datangnya tahun baru. Apatah lagi dikaitkan doa tersebut kononnya sabit dari Rasulullah saw. Juga mengatakan dengan membacanya maka akan diperolehlah fadhilat-fadhilat tertentu. Kerana kesemua riwayat yang berkaitan doa awal dan akhir tahun ini adalah batil. Ingatlah pada sebuah hadis yang masyhur yang bermaksud:
Sesungguhnya benar-benar hadith(percakapan) itu ialah kitab Allah. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad saw. Manakala sejahat-jahat urusan itu ialah yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bidah manakala setiap bidah adalah sesat. Hadis riwayat Muslim

Dalam hadis riwayat An-Nasai pula terdapat tambahan:
.dan setiap kesesatan itu di dalam neraka.

Doa tersebut boleh saja dibaca pada lain-lain waktu. Bukan dikhaskan hanya ada awal dan akhir tahun sahaja.

Beginilah pendapat dan pegangan kami. Sekiranya terdapat sesiapa yang mungkin dapat mengutarakan dalil dari al-Quran dan hadis yang sahih berkaitan amalan ini haraplah berbuat demikian. Kerana sesungguhnya kami hanyalah hamba Allah yang lemah.

Sekian. Wassalam


DOA 1 (Akhir Tahun)

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالمَيِن وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللَّهُمَّ مَا عَمِلْنَا فِيْ هَذِهِ السَّنَةِ مِمَّا نَهَيْتَنَا عَنْهُ فَلَم نَتُبْ مِنْهُ وَلمَ تَرضَهُ وَلمَ تَنْسَهُ وَحَلُمْتَ عَلَيْنَا بَعْدَ قُدْرَتِكَ عَلَى عُقُوبَيْتِنَا إِلَى التَّوْبَةِ مِنْهُ بَعْدَ جُرْأَتِنَا عَلَى مَعْصِيَتِكَ فَإِنَّنَا نَسْتَغْفِرُكَ فَاغْفِرْ لَنَا ، وَمَا عَمِلْنَا فِيْهَا مِمَّا تَرْضَاهُ وَوَعَدْتَنَا عَلَيْهِ الثَّوَابُ فَنَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ يَا كَرِيْمُ يَا ذَاالْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَامِ أَنْ تَتَقَبَّلَهُ مِنَّا وَلاَ تَقْطَعُ رَجَاءَنَا مِنْكَ يَا كَرِيْمٌ . رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِيْ الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ . وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
Maksudnya : Dengan nama Allah yang pemurah lagi amat penyayang, segala puji-pujian itu tertentu bagi Allah seru sekalian alam, selawat dan salam ke atas penghulu sekalian Rasul dan atas keluarganya dan sahabatnya sekalian. Ya Allah! Apa yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini dari apa yang Engkau tegahkan kami daripadanya, maka tidak sempat kami bertaubat darinya dan Engkau tidak meredhainya dan tidak Engkau melupainya dan Engkau berlemah lembut ke atas kami walaupun Engkau berkuasa atas menyiksakan kami, malah Engkau memberi peluang supaya kami bertaubat setelah kami melakukan maksiat ke atas Engkau, maka sesungguhnya kami memohon keampunan Engkau, maka ampunilah bagi kami dan apa yang kami lakukan padanya dari apa yang Engkau redhainya dan Engkau telah menjanjikan kami ganjaran pahala ke atasnya, maka kami memohon akan Dikau wahai Tuhan yang mulia yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan semoga Engkau menerima daripada kami dan janganlah Engkau memutuskan harapan kami daripada Engkau wahai Tuhan yang mulia. Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan peliharalah kami akan azab api neraka.

DOA 2 (Awal Tahun)

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالمَيِن وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَىأَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .اللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَبَدِيُّ الْقَدِيْمُ اْلأَوَّلُ وَعَلَى فَضْلِكَ اْلعَظِيْمِ وُجُوْدِكَ الْمُعَوِّلِ. وَهَذَا عَامٌ جَدِيْدٌ قَدْ أَقْبَلَ عَلَيْنَا . نَسْأَلُكَ الْعِصْمَةَ فِيْهِ مِنَ الْشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ وَأَوْلِيَاءِهِ وَجُنُوْدِهِ وَالْعَوْنَ عَلَى هَذِهِ النَّفْسِ اْلأَمَّارَةِ بِالسُّوْءِ وَالإِشْتِغَالِ بِمَا يُقَرِّبُنَا إِلَيْكَ زُلْفَى .اللَّهُمَّ يَا مُحَوِّلَ اْلأَحْوَالِ حَوِّلْ حَالَنَا إِلَى أَحْسَنِ الأَحْوَالِ بِحَوْلِكَ وَقُوَّتِكَ يَا عَزِيْزُ يَا مُتَعَالُ . رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِيْ الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ . وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
Maksudnya : Dengan nama Allah yang pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami nabi Muhammad s.a.w. dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian. Ya Allah! Engkaulah yang kekali qadim lagi azali dan di atas kelebihan Engkau yang besar dan kemurahan Engkau yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang sesungguhnya telah mendatangi kami, kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan kami memohon pertolongan di atas nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan dan kami memohon kepada Engkau bagi melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri kami kepada Engkau. Ya Allah! Tuhan yang mengubahkan segala keadaan, ubahkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kekuatan Engkau wahai Tuhan yang mengerasi lagi maha tinggi. Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan peliharalah kami akan azab api neraka.

 

Monday, February 27, 2012

Himpunan Planet Di Langit

Sepintas Lalu Langit Minggu Ini

(26 Feb - 3 Mac 2012)

26 Feb – 3 Mac

Sekali Imbas Waktu Kelihatan Planet-planet Utama

Senja (Maghrib-Isya)

Menjelang tengah malam

(10am-12am)

Tengah malam

(12am-2 am)

Tahajud

(2 am – 5 am)

Sekitar Subuh

(5 am-7am)

Zuhrah, Musytari. Utarid

Musytari,Marikh, Zuhal

Marikh,Zuhal

Marikh,Zuhal

Marikh,Zuhal. Komet Garradd

Sebelah Petang

Bulan

Bulan sudah kembali ke langit petang. Bentuk sabitnya semakin membesar. Bagi saya, inilah antara waktu yang paling bagus untuk meneropongnya menerusi teleskop.

Permukaan akan kelihatan begitu 'timbul', seolah-olah 3D!

Jika anda tidak mempunyai teleskop, gunalah binokular kerana ia mampu juga menunjukkan ciri-ciri permukaannya yang begitu kompleks!

Zuhrah

Sesiapa yang belum lihat Zuhrah, amatlah ruginya. Planet ini begitu dominan pada waktu senja, terus menyinari langit kawasan sebelah barat.

Ia mengekalkan ketinggian (altitud) untuk minggu ini, tetapi ia sedang perlahan-lahan beranjak ke kanan (atau ke utara).

Saya amat galakkan anda mencuba melihatnya menerusi teleskop, kerana ia semakin besar dan menuju ke fasa seperti 'bulan separuh'.

Musytari

Musytari semakin rendah di langit.

Ia semakin menghampiri ke Zuhrah, menuju ke tarikh 13/14/15 Mac, yang mana ia dan Zuhrah akan berdansa bersama-sama menghiasi langit senja dengan begitu indah sekali.

Bulan akan singgah berhampiran dengan planet ini pada 26 Feb 2012.

Siap sedia kamera anda semua. Bermula minggu ini dan sepanjang bulan Mac, begitu banyak formasi indah di langit melibatkan Musytari, Zuhrah dan Bulan!

Utarid

Utarid semakin tinggi di ufuk barat, sekitar waktu Maghrib. Walaupun kecerahannya akan tinggi, tetapi ia terpaksa berlawan dengan cahaya senja matahari, menyebabkan ia agak 'tricky' untuk menjejakinya.

Untuk minggu ini, ia berada hampir-hampir tepat di Barat. Gunalah kompas untuk cari arah barat, dan tenunglah di kawasan berhampiran ufuk. Kalau ada binokular lagi bagus, dan juga jika anda di tepi pantai, kebarangkalian untuk melihatnya lebih tinggi.

Selepas Isya'

Marikh

Marikh sekarang semakin galak mengawal langit timur. Sekitar jam 9 malam, ia sudah cukup tinggi untuk membolehkan kita melihatnya dengan mata.

Ia sangat cerah, dan warna merah dan jingganya sungguh jelas.

Pada 3 Mac nanti, tepatlah ia berada di posisi istiqbal. Ia akan terbit sebaik sahaja matahari terbenam!

Menjelang Tengah Malam

Zuhal

Zuhal semakin awal waktu terbitnya. Paling sesuai ialah lihat sekitar jam 11 malam, yang mana ia sudah agak tinggi dari ufuk langit timur.

Cubalah lihatnya menerusi teleskop, kerana bentuk gelangnya amat mengasyikkan.

Sumber : Falak Online

Sunday, February 5, 2012

Salam Maulidur Rasul 1433 H


Salam Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam ...….. Tanggal 5 Februari 2012, bersamaan dengan 12 Rabiulawwal 1433 Hijrah merupakan tarikh berlakunya ulang tahun keputeraan Rasulullah s.a.w yang mana pada tarikh inilah junjungan besar kita dilahirkan ke dunia. Tema Maulidur Rasul pada tahun ini ialah Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.

Nabi Muhammad SAW adalah nabi awal dan nabi akhir. Baginda telah dilantik menjadi nabi sejak awal lagi, namun penjelmaanya adalah yang terakhir sekali. Rasulullah saw. bersabda, “Para Sahabat bertanya, `Ya Rasulullah, bilakah wajibnya Kenabian engkau?’ Beliau menjawab, “Sejak saat ketika Adam a.s. masih dalam keadaan antara ruh dan jasad.” (Riwayat Tirmidzi) Beliau juga bersabda, “Aku sudah menjadi Nabi ketika Adam masih dalam bentuk antara air dan tanah. Beliau saw. juga bersabda, “Aku telah ditetapkan disisi Allah sebagai Khatamun-Nabiyyin, sedangkan Adam masih dalam bentuk tanah.

Di belakang tubuh Baginda juga terdapat tanda kelahiran seperti cop yang tertulis “Khatamun-Nabiyyin”. Sekiranya cop ini tiada pun, Baginda tetap menjadi Nabi. Ia cuma sebagai “syabasi”, seperti tanda penghargaan misalnya kita selalu menepuk belakang seseorang apabila mengucapkan tahniah di atas kejayaannya.

Rasulullah SAW lahir hari isnin 12 Rabiulawal tahun Gajah bersamaan 20 April 571 M. Pada tahun itu tentera bergajah dari Afrika dibawah pimpinan Abrahah datang untuk meruntuhkan kaabah. Apabila tentera Abrahah sampai dekat dengan Mekah, mereka merampas binatang-binatang ternakan orang orang Mekah. Diantara yang mereka rampas 200 ekor unta Abdul Mutallib. Abdul Mutallib datuk Nabi kita yang ketika itu merupakan ketua Mekah datang mengadap Abrahah.

Bila Abdul Mutalib masuk mengadap Abrahah, Abrahah turun duduk di bawah dengan Abdul Mutallib kerana menghormati Abdul Mutalib. Melihat perawakannya saja sudah jelas kehebatan dan ketokohannya. Abdul Mutallib minta Abrahah kembalikan binatang ternakannya dan binatang ternakan orang Mekah yang telah dirampas oleh tentera Abrahah. Abrahah terkejut mendengar permintaan itu, Abrahah fikir Abdul Mutallib nak minta belas kasihannya supaya jangan ganggu Kaabah. Kata Abdul Mutallib, Wahai Abrahah, aku ini tuan unta unta ini sebab itulah aku minta dibebaskan unta unta ini, Kaabah itu ada tuannya, yang menjaganya, kalau Kaabah itu Rumah Allah pasti Allah menjaganya.

Dengan itu Abrahah mengembalikan ternakan yang dirampas dan berjanji tidak akan mengganggu orang Mekah, yang penting dia nak robohkan Kaabah. Jadi Abdul Mutallib pulang ke kaumnya membawa semula binatang ternakan mereka yang dirampas dan mengajak mereka keluar dari Mekah ke bukit yang berhampiran. Dari bukit itulah orang orang Mekah dengan hati yang hiba dan cemas memerhatikan apa yang akan dilakukan oleh Abrahah kepada Kaabah.

Pada hari yang telah takdirkan oleh Allah, Abrahah mengarahkan tentera bergajahnya ke arah Kaabah untuk merobohkan Kaabah. Maha Besar Tuhan, dengan kuasa Allah Rabbul kaabah, gajah tidak mahu bergerak walaupun dipukul, bila digerakkan ke arah lain dia mahu bergerak, bila dihalakan ke arah kaabah gajah tak mahu bergerak. Ketika itu juga kelihatan awan hitam dilangit, bila kehitaman hitam itu makin dekat rupanya sekumpulan burung burung Ababil setiap seekor burung bawa tiga biji batu kecil. Bila tentera Abrahah tiba burung burung ini melepaskan batu batu kecil ini kepada tentera Abrahah. Maha Besar Tuhan yang maha Gagah, bila batu batu kecil ini mengenai tentera Abrahah mulalah daging-daging mereka berguguran dan menjadi cair. Ramai tentera Abrahah yang mati, bila Abrahah melihat hal itu dia lari menyelamatkan diri tapi batu sudah mengenai badanya. Akhirnya Abrahah dan semua tenteranya semuanya mati tanpa terkecuali. Allah telah menceritakan pada kita umat akhir zaman cerita ini dalam Al Quran, surah Al-Fill.

Setelah peristiwa itu Abdul Mutallib tawaf mengelilingi kaabah sebagai tanda syukur kerana ia diselamatkan oleh tuannya. Kemudian berita kelahiran Nabi SAW pula sampai kepada Abdul Mutalib. Abdul Mutalib terlalu gembira apa lagi bila mendengar cerita cerita tadi, bertambah gembira lagi Abdul Mutalib. Ketika itu Abdul Mutalib sudah menyebut bahawa anak ini akan mempunyai satu masa depan yang besar. Kerana terlalu gembira Abdul Mutalib terus membawa Rasulullah (yang masih bayi kemerahan lagi) ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Allah dan tawaf sekali lagi.

Tentang nama Muhammad, Abdul Mutalib pernah satu ketika bermusafir ke Syam dengan 3 orang sahabatnya. Mereka bertemu dengan paderi Yahudi di Syam. Rahib ini bercerita kepada mereka bahawa di Mekah akan lahir seorang Nabi, namanya Muhammad. Selepas itu keempat empat orang ini bila pulang, masing masing berazam untuk menamakan anak mereka Muhammad. Dari sinilah Abdul Mutalib menamakan cucu lelaki dari anak kesayangannya Muhammad. Sedangkan sebelum itu orang orang Arab tidak ada yang bernama Muhammad.

Monday, January 2, 2012

ADAB BELAJAR



Adab Belajar Mengikut Imam al-Ghazali

  1. Mendahulukan salam kepada guru dan bersalaman dengan bercium tangan sebagai tanda penghormatan - ikut jantina.
  2. Jangan banyak bercakap di hadapan guru.
  3. Jangan bercakap jikalau tidak ditanya.
  4. Jangan bertanya melainkan jikalau diarah oleh guru.
  5. Jangan menyangkal kata-kata guru.
  6. Jangan mengumpat pelajar lain.
  7. Jangan berbisik di hadapan guru.
  8. Jangan berpaling kiri dan kanan.
  9. Jangan menyoal semasa guru kepenatan.
  10. Berdiri apabila guru bangun (ketika guru keluar dan masuk).
  11. Dengar dengan khusyuk ilmu yang disampaikan walaupun diulang 1000 kali.
  12. Rujuk guru dalam memilih ilmu.
  13. Jangan duduk tempat guru.
  14. Jangan berjalan di hadapan guru kecuali darurat.
  15. Jangan ketuk pintu berulang kali hingga guru keluar menemuinya.
  16. Sentiasa mendapat keredhaannya dan jauhkan kemurkaannya.
  17. Muliakan anak-anak guru.
  18. Selalu berhubung dengan guru.
  19. Elakkan tidak menziarahi guru lebih 40 hari. Ini boleh mengurangkan keberkatan ilmu.
  20. Selalu mendoakan guru selepas setiap solat lima waktu.

Semoga ianya berguna dan dapat diamalkan oleh para pelajar.


SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH 2012

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU DAN KEMBALI KE SEKOLAH 2012 KEPADA WARGA SK KUBANG TELAGA


SELAMAT DATANG KEPADA PELAJAR BARU PRA SEKOLAH

DAN TAHUN SATU 2012