Monday, December 7, 2009

PETIKAN AKHBAR - TRAGEDI KB MALL

DUA PELAJAR MAUT, DUA PARAH - UTUSAN MALAYSIA

KOTA BHARU 6 Dis. - Dua sahabat maut manakala dua lagi parah apabila sebuah kereta yang hilang kawalan terjunam dari aras atas tempat letak kenderaan sebelum terhempas di dalam pusat beli-belah KB Mall, di sini hari ini.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang ini ialah Siti Nur Amira Shamsuddin, 19, dan rakannya Siti Nordiana Azman, 18, yang berasal dari negeri ini. Seorang lagi rakan mereka Rashidah Ahmad Latfi, 18, dari Besut mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Kesemua mangsa yang dipercayai ditimpa serpihan runtuhan semasa di eskalator tingkat dua bangunan itu, merupakan penuntut di sebuah kolej kejururawatan berhampiran pusat beli-belah itu.

Turut parah ialah pemandu kereta berkenaan, Norain Said, 19.Kejadian itu menggemparkan beratus-ratus pengunjung dan pekerja di pusat beli-belah tersebut dengan kebanyakan daripada mereka bertempiaran lari dalam keadaan kelam kabut.

Keadaan itu menyebabkan bunyi dentuman yang kuat, seolah-olah bumbung bangunan tersebut sedang runtuh sejurus kereta berkenaan terjatuh dari ketinggian dianggarkan 50 meter bersama ketulan batu dan serpihan kaca bertaburan. Pihak pengurusan kemudiannya bertindak mengarahkan kesemua mereka yang berada di dalam premis itu supaya keluar dan menutup pusat beli-belah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kereta itu dipercayai hilang kawalan semasa berada di kawasan letak kereta tidak berbumbung di atas bangunan itu.

"Sebelum kejadian, kereta itu dinaiki oleh tiga orang iaitu dua perempuan dan seorang lelaki tetapi tiba-tiba mengalami kerosakan," ujarnya.

Katanya, lelaki itu yang dikenali sebagai Sabri kemudian menolak kereta itu yang dikawal oleh Nurain, 19, di dalam kereta manakala adiknya, Nurul Atikah, 17, pula hanya memerhati dari luar.

Menurut beliau, bagaimanapun enjin kereta itu dikatakan berfungsi tiba-tiba serta meluncur laju lalu merempuh dinding yang menempatkan sistem pengudaraan bangunan berbumbung dan terjunam.


Kereta terjunam daripada parkir tingkat atas KB Mall - SINAR HARIAN

KOTA BHARU - Dua pelajar perempuan sebuah kolej kejururawatan Masterskill cawangan Kota Bharu maut manakala seorang parah dan seorang lagi cedera ringan dihempap sebuah kereta yang terjunam dari tingkat atas sebuah pasar raya KB Mall di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, mangsa yang maut itu dikenali sebagai Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, manakala mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Latfi, 24, juga pelajar kolej yang sama.

Pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, hanya mengalami cedera ringan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang tadi apabila sebuah kereta jenis Ford Laser TX3 yang dipandu Nor Ain dikatakan rosak di Tingkat 3 parkir itu.

“Kereta itu kemudian ditolak sebelum ianya tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh dinding lubang angin pasar raya tersebut sebelum terjunam ke tingkat bawah berhampiran eskalator,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, Siti Nor Amira yang berasal dari Felda Chiku Tujuh, Gua Musang mati di tempat kejadian, manakala Siti Nor Diana dari Kampung Menjual Chabang Empat, Tumpat meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Katanya, Rashidah yang berasal dari Kampung Pancor, Jerteh, Terengganu dan Nor Ain dari Kampung Chekeli, Dewan Beta, Nilam Puri di sini pula kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Zahruddin berkata, ketika kejadian ketiga-tiga mangsa berada di tingkat bawah pasar raya tersebut dan tiba-tiba dihempap kenderaan terbabit.

Menurutnya, kenderaan itu dikatakan rosak ketika diletakkan parkir di tingkat atas sekali itu sebelum Nor Ain bersama adiknya Nurul Afika, 17, dan seorang lagi rakan lelaki yang dikenali sebagai Sabri, 27, dari Besut, Terengganu mengambil keputusan untuk menolak kereta berkenaan.

“Nor Ain bersama adiknya itu berada dalam kereta manakala Sabri dipercayai menolak kereta terbabit sebelum ia hilang kawalan dan berlaku kejadian malang itu,” katanya.

Beliau berkata, Nurul Afika bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu dan dilaporkan pulang ke rumah kerana ketakutan dan Sabri pula menghilangkan diri sejurus kejadian.

“Polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan akan menyiasat secara terperinci kejadian tersebut,” katanya.

Saksi kejadian, Johan Salleh, 47, berkata, ketika kejadian dia berada hampir pada tempat kejadian dan sempat melihat kereta itu terjunam lalu menghempap mangsa.

“Saya sempat menarik anak lelaki saya dan sehingga sekarang masih lagi terkejut dengan kejadian tidak disangka itu,” katanya.

Seorang lagi pengusaha premis pakaian yang hanya dikenali sebagai Lina, 40-an berkata, ketika kejadian beliau hanya mendengar dentuman kuat sebelum melihat orang ramai menjerit dan berlari keluar dari pasar raya itu.

“Saya ingatkan bangunan runtuh rupanya saya menyaksikan sebuah kereta terbang lalu terjunam dan keadaan sangat menakutkan,” katanya.

Zahruddin berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta tersebut dipercayai didaftarkan di atas nama seorang wanita iaitu, Lenolera Sandi Mohd Taib, 19, yang berasal dari Kampung Kayu Kelat, Kuala Besut.

Operasi menyelamat turut disertai oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Kota Bharu dan Darul Naim yang diketuai oleh Abdul Ghani Mamat.

Turut serta pada operasi itu ialah Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri, Shahrin Yusma Mat Yusof dengan dibantu oleh 15 anggota dan dua jentera.

Pasar raya yang terkenal dan terbesar di Kelantan itu kemudiannya ditutup kepada orang ramai.



Kereta terjun - HARIAN METRO

KOTA BHARU: “Saya macam tidak percaya apabila menyaksikan sebuah kereta tiba-tiba ‘terbang’ dari tingkat atas sebelum jatuh ke atas tangga bergerak di ruang legar kompleks,” kata Mohd Jawaidi Mohd Zain, 23.

Penolong Pengurus Kyros Kebab itu berkata, sebelum kejadian dia sibuk melayan pelanggan di premisnya di ruang legar berhadapan tangga bergerak berkenaan.

Katanya, tiba-tiba dia terdengar bunyi seperti bangunan runtuh sebelum terlihat sebuah kereta Ford Laser jatuh dari tingkat atas lalu menghempap tiga wanita di tempat kejadian.

“Saya dan pelanggan tergamam sebelum lari menyelamatkan diri,” katanya. Kejadian kira-kira jam 5 petang itu berlaku apabila kereta di tingkat tiga parkir kereta pasar raya KB Mall di sini, hilang kawalan sebelum merempuh dinding dan terjunam ke bawah dari ketinggian lebih 18 meter lalu menghempap tiga penuntut Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan bandar ini.

Kejadian itu menyebabkan dua daripada pelajar berkenaan iaitu Siti Nor Amira Shamsuddin, 19, mati di tempat kejadian manakala Siti Nordiana Azman, 18, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Seorang lagi pelajar kolej itu, Rashidah Ahmad Lufti, 24, dan pemandu kereta itu, Nor Ain Said, 19, cedera parah.

Suasana mencemaskan itu menyebabkan aktiviti perniagaan lebih 40 premis di pasar raya terbabit terpaksa dihentikan bagi memberi laluan kepada lapan anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim dan Kota Bharu melakukan tugas menyelamat.

Kejadian turut menyebabkan Jalan Hamzah berhampiran sesak teruk kira-kira dua jam apabila sekitar bangunan pasar raya itu dipenuhi hampir 2,000 orang awam yang mahu melihat keadaan itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, berkata kejadian berlaku apabila kereta dipandu Nor Ain Said, 19, bersama adiknya, Nor Atikah, 17, hilang kawalan ketika ditolak seorang lelaki dikenali sebagai Sabri, 27, bagi menghidupkannya.

Menurutnya, kereta berkenaan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh dinding lubang angin di tingkat tiga dan menghempap tiga penuntut kolej berkenaan.

“Siti Nor Amira dan Rashidah di temui di tangga bergerak, manakala Nordiana terpelanting ke bawah,” katanya.

Menurutnya, Nor Ain dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut, manakala Sabri dan Nor Atikah dipercayai melarikan diri dan gerakan mengesan mereka bagi membantu siasatan sedang dilakukan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Kereta terjunam dari tingkat tiga di KB Mall, Kota Bharu - KOSMO

KOTA BHARU - Suasana di pusat beli-belah KB Mall di sini petang semalam tiba-tiba gempar dan kelam-kabut. Ekoran dentuman yang sangat kuat, mereka menyangkakan berlaku gempa bumi di pusat beli-belah itu atau satu adegan stunt untuk penggambaran filem sedang berlaku. Bagaimanapun, punca cemas itu terjawab apabila mereka mendapati sebuah kereta tiba-tiba bagaikan 'terjunam dari langit' terus merempuh bumbung KB Mall menyebabkan dua maut manakala dua yang lain cedera parah.

Dalam kejadian yang menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri itu, belum sempat membeli barang keperluan, dua sahabat menemui ajal di dalam kompleks di Jalan Sultan Ibrahim di sini itu apabila sebuah kereta tiba-tiba terjunam dari tingkat tiga kompleks tersebut semalam. Seorang lagi sahabat mereka, Rashidah Ahmad Latfi, 18, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Mereka bertiga merupakan pelajar sebuah kolej kejururawatan swasta di sini.

Mangsa, Siti Nor Amira Shamsuddin, 19, dari Felda Chiku, Gua Musang maut ketika berada di tingkat dua bersama Rashidah manakala Siti Nor Diana Azman, 18, Kampung Menjual, Chabang Empat, Tumpat berada di tingkat bawah sedang menuju ke atas dipercayai maut terkena serpihan runtuhan bangunan.

Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu, sebuah kereta jenis Ford Laser yang berada di tempat letak kereta tidak berbumbung di tingkat tiga (atas sekali) bangunan itu dikatakan telah merempuh dinding lalu terjunam ke tingkat dua yang dipenuhi pengunjung. Kereta tersebut menggelongsor laju di antara dua tangga bergerak di tempat kejadian.

Kejadian yang menggemparkan itu telah menyebabkan beratus-ratus pengunjung termasuk di tingkat lain lintang-pukang keluar bangunan apabila terdengar bunyi dentuman kuat seperti letupan bom.

No comments:

Post a Comment