KESAN SELEPAS BANJIR BESAR DI KELANTAN
Kemusnahan akibat banjir di Kelantan adalah sangat besar. Ia
dianggarkan berjumlah hampir 1 bilion (RM932.4 juta). Justeru, pemulihan kesan
bencana alam itu terutama di Kuala Krai dan Gua Musang memerlukan kerjasama
kerajaan negeri dan Pusat.
Sebagai kerajaan yang prihatin dan berpegang kepada semangat
persekutuan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan
perbincangan tertutup dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kelmarin
bagi mencari jalan membantu pemulihan pasca banjir.
Hasil daripada perbincangan itu, Kerajaan Pusat dan kerajaan
PAS Kelantan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Bersama Menangani Pascabanjir
Peringkat Negeri. Usaha murni Kerajaan Pusat itu sangat besar maknanya terutama
dalam usaha membangunkan semula negeri itu. Jawatankuasa yang akan
dipengerusikan bersama oleh Ahmad dan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang yang juga
Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu akan mengkaji semua aspek pembangunan
di negeri itu selepas musnah dilanda malapetaka banjir baru-baru ini.
Pulih kehidupan rakyat
Rakyat Kelantan tentu mengalu-alukan jalinan kerjasama itu
kerana tumpuan utama untuk memulihkan kehidupan rakyat yang menjadi mangsa
banjir luar biasa. Mengikut Muhyiddin, langkah pertama yang akan dilakukan
adalah memastikan semua mangsa banjir dapat kembali ke rumah masing-masing.
Pastinya masalah yang dihadapi 2,660 isi rumah yang kediaman
mereka musnah sama sekali akan diberi keutamaan seperti disebut Muhyiddin
bahawa fokus jawatankuasa itu ialah memastikan semua mangsa banjir terutama
yang kehilangan rumah atau rosak teruk mempunyai tempat berlindung buat
sementara waktu sehingga rumah kekal dapat disiapkan.
Antara alternatif yang disarankan oleh Menteri Besar Kelantan
sendiri ialah mencari rumah kedai atau bangunan kerajaan yang tidak digunakan
untuk penempatan sementara mangsa banjir sementara menunggu projek rumah
sementara siap. Bagi mangsa yang kehilangan rumah, tetapi masih mempunyai
tapak, kerajaan akan menimbang membina semula rumah mereka.
Langkah lain ialah memberi bantuan ihsan kepada mangsa banjir
supaya mereka dapat memulakan kehidupan selepas sudah lama tidak ada pendapatan
sepanjang tempoh banjir. Kerajaan juga akan menyalurkan bantuan bekalan makanan
kering seperti beras, gula, susu dan lain-lain untuk menampung tempoh tiga hari
selepas mangsa kembali ke rumah yang akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan
Masyarakat.
Sebelum ini Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan segera
RM50 juta untuk negeri dilanda banjir. Ia bagi membantu meringankan beban yang
dihadapi rakyat di negeri berkenaan, terutama di Kelantan yang mengalami banjir
luar biasa.
Rakyat prihatin, simpati
Pada masa sama, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan
fahaman politik terus menghulur sumbangan melalui badan bukan kerajaan untuk
disalurkan kepada mangsa banjir di Kelantan. Sumbangan dan pembabitan syarikat
swasta dan badan korporat juga sangat membantu. Apa yang penting ialah
penyelarasan menyampaikan bantuan itu perlu berkesan dan agihannya sampai sama
rata kepada mangsa dengan tumpuan lebih kepada kawasan yang paling teruk
terjejas.
Ada beberapa perkara penting lain yang harus diberi keutamaan
segera oleh jawatankuasa terbabit seperti pemulihan perkhidmatan bekalan air
paip dan perkhidmatan kereta api ke Pantai Timur. Walaupun Keretapi Tanah
Melayu Bhd (KTMB) menjangkakan pemulihan mengambil masa setahun, ramai yang
mengharapkan ia dipulihkan lebih awal, sekurang-kurangnya sebelum menjelang
Aidilfitri kerana pengangkutan kereta api menjadi alternatif penting anak
negeri Kelantan untuk pulang beraya di kampung masing-masing.
Hakikatnya, banjir luar biasa yang melanda negeri itu turut
memperlihatkan hikmahnya, iaitu kita perlu bersatu menguruskan keadaan yang
dihadapi. Kerajaan negeri harus terus memberi komitmen untuk bekerjasama dengan
Kerajaan Pusat demi kebajikan rakyat Kelantan. Malah, ramai yang mengharapkan
ia menjadi landasan penyatuan rakyat negeri Kelantan.
Pemikiran politik kepartian tidak harus menjadi penghalang
kepada kerjasama murni itu. Kita mengharapkan pemimpin politik di negeri itu
lebih terbuka dan bersatu untuk memulihkan keadaan. Yang penting lihatlah
hikmah di sebalik bencana itu. Mungkin selepas ini pemulihan kawasan dilanda
banjir teruk akan mengalami pemulihan lebih baik dari sebelumnya, manakala
mangsa banjir pula akan mendapat sesuatu yang lebih baik bagi menggantikan apa
yang mereka hilang.
Sumber : BH ONLINE
GAMBAR-GAMBAR SELEPAS BANJIR DI KELANTAN