Friday, May 20, 2011

Tiada Lagi Ujian ( PTK )

pix_gal0

PROSPEK mulai 1 Julai dinilai panel berwibawa


PUTRAJAYA: Kaedah penilaian baru bagi kakitangan awam untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan Januari lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan, tetapi ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat.

Panel penilai itu akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.

Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) menggantikan PTK yang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.
Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi; memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata selain dimensi asas seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, sistem baru itu juga mengambil kira dimensi tambahan, iaitu kreativiti dan inovasi selaras penekanan kerajaan pada masa ini.

“Pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya,” katanya pada majlis menandatangani persetujuan bersama sistem baru itu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, malam tadi. CUEPACS diwakili Presidennya, Datuk Omar Osman.

Beliau berkata, penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru itu bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan awam.

Faedah pembangunan diri, termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang kakitangan serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang.

Sementara itu, faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan dalam atau luar negara.

Pegawai yang berada dalam gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred berkenaan.

“Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan dan Latihan Berteraskan Kompetensi.

“Ketua perkhidmatan dan jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Pengumuman pemansuhan PTK diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010 berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ujian PTK diperkenalkan pada 2003 berikutan pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada Oktober 2002 menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) yang diguna pakai bagi menilai prestasi kakitangan awam sejak 1990.

Konsep baru itu akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan PTK di bawah SSM.

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru 2011



SELAMAT HARI GURU buat semua insan yang bergelar guru... yang pernah dipanggil cikgu, teacher, sir, ustaz, ustazah dan sebagainya oleh anak didik mereka....

Selamat Hari Guru juga saya tujukan buat semua rakan seperjuangan di seluruh pelosok tanah air, tidak kira sama ada yang bertugas di bandar ataupun nun jauh di pedalaman atau di Sabah dan Sarawak....!

Teristimewa ucapan ini ditujukan khas buat guru-guruku yang telah mengajar dan mendidikku tanpa jemu dan penuh ikhlas sama ada yang berlaku secara langsung ataupun tidak langsung.

Jasamu akan kukenang selagi hayat dikandung badan....terima kasih, Cikgu. Terima kasih, semua.

Pasti saban tahun akan ada getar di jiwa kita setiap kali melafazkan ikrar dan ketika menghayati bait-bait lirik lagu 'GURU MALAYSIA'.

"...amanat yang diberi, kami tak persiakan, apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan... tunai tetap kami tunaikan..."


Selamat Hari Guru 2011.

Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979


Sunday, May 8, 2011

Selamat Hari Ibu 2011


Selamat Hari Ibu! Tanggal 8hb Mei (2011) setiap tahun, semua para ibu diraikan. Tak kira samada yang telah lama bergelar ibu, baru menjadi ibu, ibu mertua, ibu tunggal, bakal ibu atau sesiapa sahaja, ‘Selamat Hari Ibu‘ diucapkan.

Pelbagai cara digunakan untuk menyampaikan penghargaan kepada ibu tercinta. Ada yang bagi bunga, kad ucapan, SMS atau panggilan telefon, dan ada juga yang pulang ke kampung halaman bersua muka dengan ibu tercinta. Ibu sentiasa dihati semua, kaulah ratu hatiku ibu!

Doa ibu sentiasa bersama anak-anaknya tatkala susah dan senang. Tak pernah mengeluh penat dan lelah dalam membesarkan anak-anak demi kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Cuma selalunya, anak-anak lah yang seringkali terlupa akan ibu tercinta ketika senang, dan baru teringat menyebut nama “Mak” hanya ketika susah dan kesedihan. Harap dijauhkanlah sikap yang sebegitu.

Biar pun saban tahun ada hari khas seperti Hari Ibu 2011 ini, ingatan terhadap ibu bukan hanya pada hari-hari tertentu malah biarlah setiap hari, setiap saat dan ketika. Tanpa ibu yang melahirkan, tiadalah kita di dunia ini. Atas sebab itulah ibu perlu dihargai dan sentiasa menjadi ratu di hati dan sanubari semua orang.


Hijjaz-Belaian Ibu

Tertanam naluri keibuan amat mendalam
Di jiwa insan yang mendambakan kebahagiaan
Oh… ibu

Di bahumu tergalas beban
Perjalananmu penuh rintangan
Kau titipkan kasih sayang
Sejujur pengorbanan
Tak ku nafikan

Di saat kita berjauhan
Rasa ingin ku berlari
Mendakapimu penuh girang
Bak si kecil kehilangan

Kau insan penyayang
Betapa ku merindu
Lembutnya belaian ibu
Membuatku terlena

Di wajah terlukis tenang
Debar di dada kau rahsiakan
Ku pastikan dikau aman
Dikurnia sejahtera
Tak ku lupakan

Di saat kita berjauhan
Rasa ingin ku berlari
Mendakapimu penuh girang
Bak si kecil kehilangan

Tiada aku tanpa ibu
Hanya (kau) satu didunia
Bertakhta dikau dijiwaku
Kau lah ibu yang tercinta

Kau insan pengasih
Betapa aku mengharap
Hadirnya restumu ibu
Membawaku ke syurga

Bersemi belaian kasih sayang nan berpanjangan
Darimu insan yang mendoakan kebahagiaan anak-anakmu
Oh… Ibu

Saturday, May 7, 2011

Himpunan Planet-Planet

Mei 2011 - Himpunan Planet-planet Terhebat untuk tahun 2011


Ok, ok, tajuk itu bunyi macam iklan pulak.

Tapi iklan atau tidak, ia merupakan 'amaran' awal kepada fenomena menarik yang bakal berlaku sepanjang bulan Mei 2011 ini nanti. Ia saya ulangi, SEPANJANG bulan Mei, bukan satu dua hari sahaja!

Kali ini, kita akan disajikan dengan himpunan planet-planet utama (kecuali Zuhal) di dalam kawasan langit yang sama pada awal pagi sepanjang bulan Mei ini. Himpunan planetari kali ini akan melibatkan planet Zuhrah, Utarid, Musytari dan Marikh. Dalam pada itu, Bulan pun akan turut sertai bersama-sama geng planet ini.

Cuma Zuhal je tak masuk dalam senarai kerana ia sekarang berada di langit petang.Kesian kat dia.

Kejadian ini akan berlaku pada awal pagi, sekitar selepas waktu Subuh.

Kawasan langitnya ialah sebelah Timur.

MUAT TURUN PETA BINTANG FENOMENA INI DI SINI

Berdasarkan kiraan beberapa perisian astronomi yang ada, kita boleh lihat bahawa keempat-empat planet ini akan berkumpul di dalam satu kawasan langit, seolah-olah berhimpit-himpit di dalam satu lorong yang sempit. Yang menariknya ialah, kesemuanya senang untuk dilihat dan tidak memerlukan teleskop untuk melihatnya. Hanya dengan menggunakan mata kasar, anda akan disajikan dengan objek-objek cakerawala berenang-renang di angkasa raya!

Fenomena ini juga akan menunjukkan dengan jelas bahawa planet-planet sentiasa berubah-ubah kedudukannya di langit, berbanding dengan bintang-bintang yang ada disekelilingnya.

Jika anda lihat betul-betul, anda akan dapati planet Zuhrah (Venus) dan Utarid akan bergerak perlahan-lahan merapati ufuk langit, manakala Musytari dan Marikh akan semakin tinggi setiap hari. Bulan pula bergerak laju ke arah timur.

Semua pergerakan ini akan dapat dilihat jika anda mencerapnya setiap hari. Jangan pula anggap dengan mencerap pada satu hari tu, tiba-tiba anda dapat lihat planet itu bergerak-gerak ke atas atau ke bawah! Pergerakan objek-objek ini amat perlahan dan dengan hanya pemerhatian setiap hari sahaja yang dapat menunjukkan pergerakannya di langit.

Lebih menarik lagi, gunalah kamera DSLR yang anda ada tu, dan rakamkan fenomena ini. Ia amat mudah dirakam dan tidak perlu guna zoom lens. Kanta standard 18mm pun sudah memadai. Anda hanya perlu bermain-main dengan waktu dedahan dan aperture sahaja. ISO kekalkan sekitar 200 atau 400 kalau nak nampak cantik dan kurang noise.

Jika anda dah ambil gambar, jangan lupa kongsikan bersama-sama!

Selamat Mencerap dan Jom Teropong!