Friday, December 9, 2011

Gerhana Bulan Penuh - 10 Disember 2011


Pada 10 Disember 2011 ini, kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh sekali lagi. Kali terakhir rakyat Malaysia dan di rantau Asia Tenggara menyaksikan fenomena gerhana seperti ini ialah pada bulan Jun 2011 lepas. Fenomena ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Tidak seperti gerhana yang lepas, yang mana ia berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai.

Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.31 petang. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan, iaitu sekitar jam 8.30 malam

Bulan akan berada di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh) pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam.

Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.

Waktu setiap fasa gerhana boleh dirujuk seperti di bawah (kiraan Skymap Pro 8):

Moon enters penumbra: 2011 Dec 10 19:31:37
Moon enters umbra: 2011 Dec 10 20:45:11
Start of totality: 2011 Dec 10 22:05:29
Maximum eclipse: 2011 Dec 10 22:31:36
End of totality: 2011 Dec 10 22:57:45
Moon leaves umbra: 2011 Dec 11 00:18:04
Moon leaves penumbra: 2011 Dec 11 01:31:30
Jumlah masa Bulan bergelap di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya ialah selama 52 min 16 saat.

Waktu di atas merupakan waktu tempatan (Malaysia). Ia adalah sama sahaja jika anda berada di Semenanjung, Sarawak atau Sabah. Cuma yang berbeza ialah ketinggian Bulan di langit. Semakin anda berada ke arah timur Malaysia, semakin tinggi kedudukan Bulan pada satu-satu fasa gerhana itu.

Monday, November 21, 2011

Penemuan Manusia Raksasa Kaum ' Ad Umat Nabi Hud AS


Aktiviti eksplorasi gas wilayah selatan gurun pasir Arab telah menemui tengkorak manusia bersaiz raksasa sangat mengejutkan. Wilayah di gurun pasir Arab selatan ini disebut "Penempatan kosong" (Empty Quarter atau Rab al-Khaliy). Fosil manusia raksasa itu ditemui oleh Pasukan The Aramco Exploration.

Sebegaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Quran bahawa DIA pernah menciptakan manusia bersaiz besar. Mereka adalah kaum 'Ad dimana Nabi Hud AS diutus di situ untuk menyeru manusia pada kebenaran. Tubuh mereka bersaiz besar, sangat tinggi dan kuat kerana itu mereka boleh memeluk sebuah pohon besar dan mencabutnya.

Kemudian, setelah Allah memberi kekuatan pada mereka dengan melebihkan mereka dari umat yang lain, mereka berbalik menjadi umat penderhaka, mendustakan serta menentang kenabian Nabi Hud AS. Sebagai hukuman, mereka kemudian diseksa oleh Allah SWT. Para Ulama Arab Saudi meyakini penemuan ini adalah kaum 'Ad dari zaman Nabi Hud tersebut.

Demi keselamatan tapak arkeologi tersebut, tentera Arab Saudi telah menjaga kawasan penemuan ini dan tak seorang pun dibenarkan memasuki lokasi kecuali para pegawai eksplorasi Aramco.

Pada awal tahun 1990 muncul keratan akhbar dalam beberapa surat khabar yang terkemuka di dunia yang menyatakan "Kota Legenda Arabia yang Hilang Telah Ditemui", "Kota Legenda Arabia Ditemukan", "Ubar, Atlantis di Padang Pasir." Yang membuat penemuan arkeologi ini lebih menarik adalah kenyataan bahawa bandar ini juga disebut dalam Al-Quran.

Ramai orang, yang sejak dahulu beranggapan bahawa kaum 'Ad sebagai-mana diceritakan dalam Al Quran hanyalah sebuah legenda atau beranggapan bahawa lokasi mereka tidak akan pernah ditemui, tidak dapat menyembunyikan kehairanan mereka atas penemuan ini.

Penemuan bandar ini, yang hanya disebutkan dalam cerita lisan Suku Badwi, membangkitkan minat dan rasa ingin tahu yang sangat mendalam.Nicholas Clapp, seorang arkeolog amatur yang menemui kota legenda yang disebutkan dalam Al Quran ini. Sebagai seorang Arabophile dan pembuat filem dokumentari berkualiti, Clapp telah menjumpai sebuah buku yang sangat menarik

selama penelitiannya tentang sejarah Arab. Buku ini berjudul Arabia Felix yang ditulis oleh seorang peneliti Inggeris bernama Bertram Thomas pada tahun 1932. Arabia Felix adalah wakil Rom untuk bahagian selatan semenanjung Arabia yang sekarang ini merangkumi Yaman dan sebahagian besar Oman. Bangsa Yunani menyebut daerah ini "Eudaimon Arabia".

Sarjana Arab abad pada pertengahan menyebutnya sebagai "Al-Yaman As-Sa'idah" 20.Semua nama tersebut bermaksud "Arabia yang Beruntung ", kerana orang-orang yang hidup di daerah tersebut di masa lalu dikenali sebagai orang-orang yang paling beruntung pada zamannya. Jadi apakah yang untung itu?Keberuntungan mereka sebahagian berkaitan dengan kawasan mereka yang strategik menjadi perantara dalam perdagangan rempah ratus antara India dengan tempat-tempat di utara semenanjung Arab.

Di samping itu, orang-orang yang berdiam di daerah ini menghasilkan dan mengedarkan "frankincense" sejenis getah wangi dari pokok langka. Kerana sangat disukai oleh masyarakat kuno, tanaman ini digunakan sebagai dupa dalam berbagai upacara keagamaan. Pada saat itu, tanaman tersebut sekurang-kurangnya sama berharganya dengan emas.

Thomas memaparkan tentang suku-suku yang "beruntung" ini dengan panjang lebar dan menyatakan bahawa ia telah menemui jejak sebuah bandar purba yang dibina oleh salah satu dari suku-suku ini. Itulah bandar yang dikenali suku Badwi dengan sebutan "Ubar". Pada salah satu perjalanannya ke daerah tersebut, orang-orang Badwi yang hidup di padang pasir itu menunjukkan pusat-pusat usang dan menyatakan bahawa pusat-pusat tersebut mengarah ke bandar kuno Ubar.

Thomas, yang sangat berminat dengan perkara ini dan mahu mengkaji lebih dalam lagi.Clapp, setelah mengkaji tulisan Thomas, yakin akan kewujudan bandar yang hilang tersebut. Tanpa banyak membuang masa, beliau memulakan penelitiannya. Clapp membuktikan kewujudan Ubar dengan dua cara. Perta-ma, ia menemukan pusat-pusat yang menurut suku Badwi benar-benar ada. Ia meminta NASA (Badan Luar Angkasa Nasional Amerika Syarikat) untuk menyediakan foto satelit daerah tersebut. Selepas rundingan yang panjang, beliau berjaya memujuk pihak yang berkuasa untuk memotret daerah tersebut.Clapp meneruskan mempelajari pelbagai manuskrip dan peta kuno di perpustakan Huntington di California.

Tujuannya adalah untuk menemukan peta dari daerah tesebut. Setelah melalui penelitian singkat, ia menemukannya. Yang ditemuinya adalah sebuah peta yang dilukis oleh Ptolomeus, ahli geografi Yunani-Mesir pada tahun 200 M. Pada peta ini ditunjukkan lokasi sebuah bandar tua yang ditemui di daerah tersebut dan jalan-jalan yang menuju ke kota tersebut.Sementara itu, beliau menerima khabar bahawa NASA telah melakukan pemotretan.

Dalam foto-foto tersebut, beberapa pusat kafilah dapat di lihat, suatu hal yang sulit untuk dicari dengan mata kasar, tetapi boleh dilihat sebagai satu kesatuan dari luar angkasa. Dengan membandingkan foto-foto ini dengan peta tua yang di tangannya, akhirnya Clapp menjumpai kesimpulan yang ia cari: pusat-pusat dalam peta tua sesuai dengan pusat-pusat dalam gambar yang diambil dengan satelit.

Tujuan akhir dari jejak-jejak ini adalah sebuah tapak yang luas yang ditengarai dahulunya merupakan sebuah bandar.Akhirnya, lokasi bandar legenda yang menjadi subjek cerita-cerita lisan suku Badwi dijumpai. Tidak berapa lama kemudian, penggalian bermula dan peninggalan dari sebuah bandar mulai tampak di bawah gurun pasir.

Demikianlah, bandar yang hilang ini disebut sebagai "Ubar, Atlantis di Padang Pasir".Lalu, apakah yang membuktikan bandar ini sebagai bandar kaum 'Ad yang disebutkan dalam Al Quran?Begitu runtuhan-runtuhan mula digali, diketahui bahawa bandar yang hancur ini adalah milik kaum 'Ad dan berupa tiang-tiang Iram yang disebutkan dalam Al Quran, kerana di antara pelbagai struktur yang di-gali terdapat menara-menara yang secara khusus disebutkan dalam Al-Quran .







Sunday, November 13, 2011

Guru Kerja 9 Jam Mulai 2012


NUTP: Putrajaya laksana guru kerja sembilan jam mulai 2012

KUALA LUMPUR, 12 Nov — Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari depan, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Presidennya Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu bekerja baru itu akan dilaksanakan di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak sebagai percubaan selama enam bulan.

Hashim menambah NUTP bagaimanapun berpendapat waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di sekolah.

Katanya, NUTP menerima maklum balas daripada guru terlibat yang bimbang dan tertekan ekoran perubahan waktu kerja baharu itu.

Tempoh percubaan waktu bekerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan.

Terdapat sekitar 400,000 guru di seluruh negara pada masa sekarang.

“NUTP berpendapat sistem bekerja sembilan jam seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan sekolah.

“Selain bertugas sebagai pendidik, guru juga dibebani dengan tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya. Malah, ada masanya guru terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan kelas tambahan,” kata Hashim, dipetik Utusan Malaysian hari ini, pada sidang sidang media di Alor Setar.

“Kesatuan dimaklumkan bahawa para guru di sekolah terlibat sudah diberikan taklimat berhubung perkara ini,” katanya.

Tambah beliau, walaupun ia tempoh percubaan sebelum diperhalusi pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran, ramai guru sudah merasa tertekan dan “kita bimbang perkara ini akan menganggu tugas mereka di sekolah.”

Sehubungan itu, kata Hashim, NUTP menggesa kerajaan supaya mengkaji semula perkara tersebut.

Thursday, September 29, 2011

Musim Haji : Hamparan Pelangi Menuju Ilahi


Alhamdulillah, pada tahun ini seorang guru SKKT akan berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5 iaitu Ustaz Zakaria Bin Mat.

Kami warga SKKT ingin mengambil kesempatan di sini untuk memohon ampun dan maaf atas semua salah silap yang kami lakukan. Kami juga mendoakan Ustaz Zek dan isteri dipermudahkan segala urusan dalam perjalanan dan menjalani ibadah, diberi kesihatan yang baik serta diberi kesabaran menghadapi ujian dan dugaan di sana, seterusnya kembali dengan selamat serta mendapat haji yang mabrur.

Labbaika allahumma labbaik. Labbaika laa syariika laka labbaik. Innal hamda wanni’mata laka walmulk. Laa syarika lak.

”Aku datang memenuhi panggilan-Mu Ya Allah. Aku datang memenuhi panggilan-Mu, aku datang memenuhi panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu. Aku datang memenuhi panggilan-MU. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan segenap kekuasaan adalah milik-Mu. Tidak ada sekutu bagi-Mu”

Jikalah musim haji itu hanya menjadi milik jutaan para bakal haji, milik para hujjaj yang kini sedang mara menuju kaabah, baituLlah al haram untuk menyempurnakan manasik al haj beberapa hari lagi itu, maka apa perlu kita menyambut hari raya haji?

Apa erti hari raya haji atau eid al adhha kalau tidak kerana musim haji juga adalah milik kita, milik bilionan umat Islam di seluruh dunia jua?

Haji milik mereka, khususnya pemilik haji yang mabrur. Adapun musim haji, ia adalah milik semua. Allah jadikannya untuk semua hamba – hambaNya yang mencariNya di dunia yang gelap dan kelam ini.

Musim haji bukan sekadar saat cahaya yang memancar – mancar dari kaabah, atau suara memanggil – manggil dari tanah al haram, bahkan ia bagai lorong terhampar permaidani daripada jaluran warna - warna pelangi yang bersinar buat perjalanan indah seluruh umat Islam menuju Allah yang esa.

Rasainya sekarang, kerana ia telah pun bermula semenjak 1 Zulhijjah lagi, dan ia akan terus bersinar sehinggalah 10 Zulhijjah. 10 hari yang sempurna. Itulah sebaik – baik hari dalam setahun. Itulah gandingan 10 malam terakhir di bulan Ramadhan, sebaik – baik malam dalam setahun. Kecapilah kesyahduannya hari ini sebagaimana anda sering rasainya di malam – malam hujung Ramdhan al mubarak.

Maksud hadis sahih riwayat asy syaikhan daripada Ibni Abbas,sabda RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam; “Tiada satu hari pun yang segala amalan soleh di dalamnya lebih disukai Allah lebih daripada amalan soleh yang dikerjakan di dalam hari – hari 10 ini ( iaitu 10 hari pertama Zulhijjah ). Lalu baginda ditanya; Sehinggakan berjihad wahai RasulaLlah? Baginda mejawab; Ya, walaupun berjihad, kecualilah seorang lelaki yang keluar dari rumahnya dengan diri dan hartanya ke medan, lalu beliau tidak lagi pulang ( mati syahid ).”

Allah menghadiahkan kita dengan perayaan kedua iaitu eid al adhha atau hari raya korban bersempena dengan peristiwa agung pengorbanan besar yang ditunjukkan datuk kita nabi Ibrahim demi menggapai semi cinta Allah yang murni. Peristiwa ini adalah antara manasik haji akhir para hujjaj di kota Makkah yang dilaksanakan sebagai mengingati apa yang telah dilakukan oleh datuk kita itu. Allah lalu memperkenankannya untuk diingati oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia agar cerita pengorbanan demi menagih cinta tuhan itu terus hidup di dalam sanubari umat Islam.

Pipi si anak tersayang disembam ke bumi lalu pisau diangkat sambil leher dilurut demi melaksanakan upacara penyembelihan agung! Lalu Allah berseru, “Wahai Ibrahim, sungguh engkau telah membenarkan mimpimu itu..” Allah menerima cinta Ibrahim, lalu ”Dan kami menebusnya dengan sembelihan (kibasy) yang agung.” – Ash shaaffaat; 22-27

Mengingati cerita agung ini tidak akan sempurna sehinggalah kita membongkar kisah datuk kita nabi Ibrahim alaihissalam yang memulakan sejarah kota Makkah. Jika anda melihat dan memerhati manasik al haj, anda tidak mungkin mampu menghayatinya sehinggalah anda memahami sejarah perjuangan datuk kita itu.

Datuk kita, sepertilah nabi kita, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam adalah ikutan yang sempurna;

Maksud firman Allah; Sesungguhnya untuk kamu pada Ibrahim dan mereka yang bersamanya adalah menjadi ikutan yang baik..” – al Mumtahanah;4

Demikian ringkasan yang harus kita hayati daripada pensyariatan ibadah haji. Janganlah kita menduga bahawa perihal haji itu hanya milik para bakal haji sahaja. Bahkan Allah tidak pernah mengabaikan keindahannya buat seluruh hambanya yang beriman untuk mengecapi kemanisannya.

Bersama menyelongkar hikmat haji, bersama menghidup 10 hari di bulan Zulhijjah dengan amalan – amalan solehah dan Selamat Hari Raya Haji al mubarak.

Monday, August 29, 2011

Salam Aidil Fitri 2011 / 1432 H


Selamat menyambut Aidil Fitri dan maaf zahir batin kepada semua warga SK Kubang Telaga.

Bulan Ramadan yang penuh keberkatan telah sampai ke penghujungnya. Kini Aidilfitri menjelang tiba. Aidilfitri disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana itulah tanda bahawa perjuangan melawan hawa nafsu di bulan Ramadan telah berjaya.

Tapi ini bukan bererti perjuangan tersebut berhenti setakat itu sahaja sebaliknya amalan-amalan baik yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan wajar diteruskan dan amalan yang haram adalah ditegah. Namun dalam keghairahan dan kegembiraan menyambut hari raya yang mulia, umat islam diingatkan agar jangan melampaui lunas-lunas dan batasan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Ini kerana dibimbangi, hari raya yang dijadikan oleh Allah swt sebagai anugerah kerana kejayaan hambanya beribadah dan berjuang melawan hawa nafsu selama sebulan bertukar menjadi hari untuk menghimpunkan dosa-dosa yang tidak dapat dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

Islam telah memberikan beberapa garis panduan yang sewajarnya menjadi amalan umat Islam dalam menghadapi kemeriahan berhari raya. Antara amalan sunat yang dianjurkan untuk menjadi amalan menjelang hari raya ialah:

  • Bertakbir dan bertahmid kepada Allah bermula dari waktu terbenam matahari malam hari raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang hari raya. Firman Allah : "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur" (Surah al-Baqarah :185)
  • Mandi sunat di pagi hari raya
  • Memakai pakaian baru atau bersih
  • Memakai wangi-wangian dan menghilangkan segala bau yang tidak elok
  • Memohon kemaafan dan keampunan kepada dua ibubapa, suami atau isteri dan ahli keluarga yang lain
  • Makan sedikit sebelum ke masjid dan melalui jalan yang berbeza untuk pergi dan pulang dari masjid
  • Solat Sunat Hari Raya
  • Ziarah menziarahi dan sebagainya. Ketika sedang gembira berhari raya, jangan dilupa pada golongan yang memerlukan Amalan bersedekah merupakan cara terbaik sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Selain daripada itu, dalam kesibukan membuat persiapan menghadapi hari raya , perlu dielakkan campuraduk antara amalan-amalan yang baik dengan perkara yang ditegah. Di antaranya pembaziran dalam penyediaan makanan dan minuman. Selain itu, percampuran di antara lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis perlu dielakkan daripada berlaku.

Perkara-perkara maksiat yang ditegah oleh syara' mestilah dijauhi dan janganlah melakukan perlanggaran batas-batas agama. Umat Islam juga perlulah menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara.

Di antaranya ialah dengan memilih waktu yang sesuai untuk berziarah. Apa yang diharapkan, hari raya bukan semata-mata hari untuk bergembira tetapi yang lebih penting dan utama ialah mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.


Wednesday, August 17, 2011

Kadar Zakat Fitrah 2011





Zakat fitrah dikenali juga sebagai zakat badan, zakat puasa, zakat Ramadan, dan zakat Fitri kerana masa untuk menyempurnakannya adalah pada akhir Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Zakat fitrah adalah sebagai penyuci orang yang berpuasa daripada melakukan perbuatan keji dan buruk juga untuk dijadikan sumber keperluan orang asnaf ketika 1 Syawal(siang & malam)

Syarat Zakat Fitrah
  1. Islam
  2. Mempunyai sesuatu (makanan, harta, atau wang) yang lebih daripada keperluan diri sendiri dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya untuk satu hari siang dan malam Hari Raya itu.
  3. Dapat menemui dua masa – akhir Ramadan dan awal Syawal. Orang yang meninggal dunia sebelum terbenam matahari atau anak yang dilahirkan selepas matahari terbenam malam satu Syawal itu tidak wajib fitrah ke atasnya.
Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5

Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:
  • Waktu wajib: Apabila terbenam matahari akhir 30 ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
  • Waktu yang paling afdhal: Sebelum Solat Sunat Hari Raya.
  • Waktu sunat: Sepanjang bulan Ramadhan.
  • Waktu makruh: Selepas solat sunat hari raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.
  • Waktu haram: Selepas terbenam matahari satu Syawal.


Sunday, July 31, 2011

Selamat Menunaikan Ibadah Puasa



10 Persediaan Untuk Menyambut Kedatangan Ramadhan


1. Berdoalah agar Allah memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan dalam keadaan sihat walafiat. Dengan keadaan sihat, kita dapat melaksanakan ibadah secara maksima di bulan itu, baik puasa, solat, tilawah, dan zikir. Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahwa Rasulullah saw. apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa, “Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan.” Ertinya, ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan. (HR. Ahmad dan Tabrani)

Para salafush-soleh selalu memohon kepada Allah agar diberikan kurnia bulan Ramadhan dan berdoa agar Allah menerima amal mereka. Bila telah masuk awal Ramadhan, mereka berdoa kepada Allah, “Allahu akbar, allahuma ahillahu alaina bil amni wal iman was salamah wal islam wat taufik lima tuhibbuhu wa tardha.” Ertinya, ya Allah, kurniakan kepada kami pada bulan ini keamanan, keimanan, keselamatan, dan keislaman dan berikan kepada kami taufik agar mampu melakukan amalan yang Engkau cintai dan redhai.

2. Bersyukurlah dan pujian kepada Allah atas kurnia Ramadhan yang kembali diberikan kepada kita. Al-Imam Nawawi dalam kitab Adzkar-nya berkata, “Dianjurkan bagi setiap orang yang mendapatkan kebaikan dan diangkat dari dirinya keburukan untuk bersujud kepada Allah sebagai tanda syukur dan memuji Allah dengan pujian yang sesuai dengan keagungannya.” Dan di antara nikmat terbesar yang diberikan Allah kepada seorang hamba adalah ketika dia diberikan kemampuan untuk melakukan ibadah dan ketaatan. Maka, ketika Ramadhan telah tiba dan kita dalam keadaan sihat wal afiat, kita harus bersyukur dengan memuji Allah sebagai bentuk syukur.

3. Bergembiralah dengan kedatangan bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. selalu memberikan kabar gembira kepada para shahabat setiap kali datang bulan Ramadhan, “Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.” (HR. Ahmad).

Salafush-soleh sangat memperhatikan bulan Ramadhan. Mereka sangat gembira dengan kedatangannya. Tidak ada kegembiraan yang paling besar selain kedatangan bulan Ramadhan karena bulan itu bulan penuh kebaikan dan turunnya rahmat.

4. Rancanglah agenda kegiatan untuk mendapatkan manfaat sebesar mungkin dari bulan Ramadhan. Ramadhan sangat singkat. Kerana itu, isi setiap detiknya dengan amalan yang berharga, yang dapat membersihkan diri, dan mendekatkan diri kepada Allah.

5. Bertekadlah mengisi waktu-waktu Ramadhan dengan ketaatan. Barangsiapa Jujur kepada Allah, maka Allah akan membantunya dalam melaksanakan agenda-agendanya dan memudahkannya melaksanakan perkara-perkara kebaikan. “Tetapi jikalau mereka benar terhadap Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka.” [Q.S. Muhamad (47): 21]

6. Pelajarilah hukum-hukum semua amalan ibadah di bulan Ramadhan. Wajib bagi setiap mukmin beribadah dengan dilandasi ilmu. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadhan datang agar puasa kita benar dan diterima oleh Allah. “Tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui,” begitu kata Allah di Al-Qur’an surah Al-Anbiyaa’ ayat 7.

7. Sambut Ramadhan dengan tekad meninggalkan dosa dan tabiat buruk. Bertaubatlah secara benar dari segala dosa dan kesalahan. Ramadhan adalah bulan taubat. “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” [Q.S. An-Nur (24): 31]

8. Siapkan jiwa dan ruhiyah kita dengan bacaan yang mendukung proses tadzkiyatun-nafs. Hadiri majlis ilmu yang membahas tentang keutamaan, hukum, dan hikmah puasa. Sehingga secara mental kita siap untuk melaksanakan ketaatan pada bulan Ramadhan.

9. Siapkan diri untuk berdakwah di bulan Ramadhan dengan membuat catatan kecil untuk kultum tarawih serta ba’da sholat subuh dan zhuhur, memberikan buku saku atau lebaran yang berisi nasihat dan keutamaan puasa.

10. Sambutlah Ramadhan dengan membuka lembaran baru yang bersih. Kepada Allah, dengan taubatan nashuha. Kepada Rasulullah saw., dengan melanjutkan risalah dakwahnya dan menjalankan sunnah-sunnahnya. Kepada orang tua, istri,anak, dan kaum kerabat, dengan mempererat hubungan silaturrahim. Kepada masyarakat, dengan menjadi orang yang paling bermanfaat bagi mereka. Sebab, manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.

Friday, July 22, 2011

Biasiswa Sukan


Biasiswa Sukan ini adalah merupakan satu galakan kepada atlet yang cemerlang dalam bidang sukan serta mempunyai potensi akademik yang baik untuk meneruskan pengajian di IPT.

Tawaran Biasiswa Sukan ini terbuka kepada semua atlet yang bergiat aktif dalam semua bidang sukan yang diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Biasiswa Sukan ditawarkan kepada atlet-atlet yang mengikuti pengajian bagi kursus dalam Negara yang diiktiraf di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merangkumi IPT Awam, IPT Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti. Walau bagaimanapun, bagi kursus-kursus kritikal seperti perubatan, farmasi dan pergigian, tawaran biasiswa hanya untuk pengajian di IPT Awam sahaja.

Penerima Biasiswa Sukan ini tidak mempunyai kaitan kontrak untuk berkhidmat dengan kerajaan. Walau bagaimanapun, pemegang adalah digalakkan untuk menyumbang ke arah pembangunan sukan Negara apabila tamat pengajian kelak.

Jika berminat sila pergi ke link yang dinyatakan di bawah :-


Tuesday, June 21, 2011

Peristiwa Israk Dan Mikraj


Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

a. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

b. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

c. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

d. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

e. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

f. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

g. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

h. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

i. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

j. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

k. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

l. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

m. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa': Ayat 1).


Tuesday, June 14, 2011

Fasa-Fasa Gerhana Bulan

Fasa-fasa penting Gerhana Bulan Penuh nanti



(Photo credit and copyright to Fred Espenak)

Fasa-fasa penting sewaktu Gerhana Bulan Penuh 16 Jun 2011 nanti. Grafik adalah daripada utiliti di laman web http://shadowandsubstance.com/ . Semua hakcipta adalah daripada laman web tersebut. Saya tidak buat sebarang modifikasi terhadap screenshot tersebut. Oleh itu perhatikan tarikh yang dipaparkan 15 Jun waktu Universal. Kejadian Gerhana berlaku di Malaysia berlaku apabila sudah masuk ke tarikh 16 Jun Waktu Malaysia.

Saya syorkan lawati laman web http://shadowandsubstance.com/ untuk melihat animasi Flash gerhana tersebut.


1.22 PAGI
Bulan sudah mula memasuki kawasan bayang-bayang penumbra. Dijangka tidak banyak perbezaan cahaya yang boleh dilihat, malah boleh dikatakan tiada sebarang tanda-tanda yang boleh dilihat dengan mata. Oleh itu, rileks dan jangan gopoh-gopoh! :-)

2.22 Pagi
Bulan sudah mula memasuki kawasan bayang-bayang umbra. Kini jelas kelihatan satu bayang-bayang gelap memasuki satu sisi Bulan. Semakin lama ia akan semakin besar dan mula menutupi bentuk bulatan Bulan tadi. Bulan penuh tidak kelihatan bulat lagi!

3.21 Pagi
Secara rasminya, Bulan sudah memasuki sepenuhnya kawasan bayang-bayang umbra. Maka fasa Gerhana Penuh pun bermula. Bulan dijangka tidak akan gelap sepenuhnya, dan akan kelihatan kemerah-merahan.

4.12 Pagi
Bulan berada di pertengahan fasa gerhana penuh. Ini bermaksud ia sudahpun berada dikawasan paling 'dalam' bayang-bayang umbra. Ketika ini gerhana berada pada puncaknya dan Bulan akan berada pada kecerahan yang paling malap.

5.02 Pagi
Bulan secara rasmi sudah menamatkan perjalanannya di dalam bayang-bayang umbra, dan mula memasuki kawasan penumbra yang kurang gelap tadi. Bentuk bulan masih lagi sompek, tidak bulat.

6.02 Pagi

Bulan secara keseluruhannya sudah keluar dari kawasan umbra dan kelihatan seperti hampir sediakala. Namun ia masih berada di dalam kawasan bayang-bayang penumbra.

7.02 Pagi
Tamatnya gerhana. Bulan sudah pun keluar terus daripada kawasan bayang-bayang Bumi di angkasa! Jom tunggu Gerhana Penuh seterusnya pada 10 Disember 2011 pula!!!



Gerhana Penuh Bulan - 16 Jun 2011


Pada awal pagi 16 Jun 2011 nanti, penduduk di Malaysia berpeluang menyaksikan Gerhana Bulan Penuh sekali lagi. Ia akan bermula dari jam 1.22 pagi, yang mana ketika itu, Bulan baru sahaja memasuki kawasan bayang-bayang penumbra. Kemudian ia akan memasuki kawasan bayang-bayang umbra pada jam 2.22 pagi.

Fasa Gerhana Penuh secara rasminya akan bermula pada jam 3.21 pagi sehinggalah 5.02 pagi. Kemuncak gerhana ialah pada jam 4.12 pagi.

Yang menarik gerhana kali ini ialah laluan Bulan agak hampir dengan garisan tengah bayang-bayang umbra.

Berikut adalah data gerhana yang dikira menerusi perisian Skymap Pro untuk waktu tempatan Malaysia.

Moon enters penumbra: 2011 Jun 16 01:22:52
Moon enters umbra: 2011 Jun 16 02:22:24
Start of totality: 2011 Jun 16 03:21:57
Maximum eclipse: 2011 Jun 16 04:12:24
End of totality: 2011 Jun 16 05:02:50

Moon leaves umbra: 2011 Jun 16 06:02:22
Moon leaves penumbra: 2011 Jun 16 07:02:02
Umbral magnitude: 1.705
Penumbral magnitude: 2.712

Duration of total phase: 1h 40m 52s
Duration of umbral phase: 3h 39m 58s
Duration of penumbral phase: 5h 39m 10s


Friday, May 20, 2011

Tiada Lagi Ujian ( PTK )

pix_gal0

PROSPEK mulai 1 Julai dinilai panel berwibawa


PUTRAJAYA: Kaedah penilaian baru bagi kakitangan awam untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan Januari lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan, tetapi ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat.

Panel penilai itu akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.

Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) menggantikan PTK yang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.
Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi; memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata selain dimensi asas seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, sistem baru itu juga mengambil kira dimensi tambahan, iaitu kreativiti dan inovasi selaras penekanan kerajaan pada masa ini.

“Pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya,” katanya pada majlis menandatangani persetujuan bersama sistem baru itu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, malam tadi. CUEPACS diwakili Presidennya, Datuk Omar Osman.

Beliau berkata, penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru itu bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan awam.

Faedah pembangunan diri, termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang kakitangan serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang.

Sementara itu, faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan dalam atau luar negara.

Pegawai yang berada dalam gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred berkenaan.

“Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan dan Latihan Berteraskan Kompetensi.

“Ketua perkhidmatan dan jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Pengumuman pemansuhan PTK diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010 berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ujian PTK diperkenalkan pada 2003 berikutan pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada Oktober 2002 menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) yang diguna pakai bagi menilai prestasi kakitangan awam sejak 1990.

Konsep baru itu akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan PTK di bawah SSM.

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru 2011



SELAMAT HARI GURU buat semua insan yang bergelar guru... yang pernah dipanggil cikgu, teacher, sir, ustaz, ustazah dan sebagainya oleh anak didik mereka....

Selamat Hari Guru juga saya tujukan buat semua rakan seperjuangan di seluruh pelosok tanah air, tidak kira sama ada yang bertugas di bandar ataupun nun jauh di pedalaman atau di Sabah dan Sarawak....!

Teristimewa ucapan ini ditujukan khas buat guru-guruku yang telah mengajar dan mendidikku tanpa jemu dan penuh ikhlas sama ada yang berlaku secara langsung ataupun tidak langsung.

Jasamu akan kukenang selagi hayat dikandung badan....terima kasih, Cikgu. Terima kasih, semua.

Pasti saban tahun akan ada getar di jiwa kita setiap kali melafazkan ikrar dan ketika menghayati bait-bait lirik lagu 'GURU MALAYSIA'.

"...amanat yang diberi, kami tak persiakan, apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan... tunai tetap kami tunaikan..."


Selamat Hari Guru 2011.

Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979


Sunday, May 8, 2011

Selamat Hari Ibu 2011


Selamat Hari Ibu! Tanggal 8hb Mei (2011) setiap tahun, semua para ibu diraikan. Tak kira samada yang telah lama bergelar ibu, baru menjadi ibu, ibu mertua, ibu tunggal, bakal ibu atau sesiapa sahaja, ‘Selamat Hari Ibu‘ diucapkan.

Pelbagai cara digunakan untuk menyampaikan penghargaan kepada ibu tercinta. Ada yang bagi bunga, kad ucapan, SMS atau panggilan telefon, dan ada juga yang pulang ke kampung halaman bersua muka dengan ibu tercinta. Ibu sentiasa dihati semua, kaulah ratu hatiku ibu!

Doa ibu sentiasa bersama anak-anaknya tatkala susah dan senang. Tak pernah mengeluh penat dan lelah dalam membesarkan anak-anak demi kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Cuma selalunya, anak-anak lah yang seringkali terlupa akan ibu tercinta ketika senang, dan baru teringat menyebut nama “Mak” hanya ketika susah dan kesedihan. Harap dijauhkanlah sikap yang sebegitu.

Biar pun saban tahun ada hari khas seperti Hari Ibu 2011 ini, ingatan terhadap ibu bukan hanya pada hari-hari tertentu malah biarlah setiap hari, setiap saat dan ketika. Tanpa ibu yang melahirkan, tiadalah kita di dunia ini. Atas sebab itulah ibu perlu dihargai dan sentiasa menjadi ratu di hati dan sanubari semua orang.


Hijjaz-Belaian Ibu

Tertanam naluri keibuan amat mendalam
Di jiwa insan yang mendambakan kebahagiaan
Oh… ibu

Di bahumu tergalas beban
Perjalananmu penuh rintangan
Kau titipkan kasih sayang
Sejujur pengorbanan
Tak ku nafikan

Di saat kita berjauhan
Rasa ingin ku berlari
Mendakapimu penuh girang
Bak si kecil kehilangan

Kau insan penyayang
Betapa ku merindu
Lembutnya belaian ibu
Membuatku terlena

Di wajah terlukis tenang
Debar di dada kau rahsiakan
Ku pastikan dikau aman
Dikurnia sejahtera
Tak ku lupakan

Di saat kita berjauhan
Rasa ingin ku berlari
Mendakapimu penuh girang
Bak si kecil kehilangan

Tiada aku tanpa ibu
Hanya (kau) satu didunia
Bertakhta dikau dijiwaku
Kau lah ibu yang tercinta

Kau insan pengasih
Betapa aku mengharap
Hadirnya restumu ibu
Membawaku ke syurga

Bersemi belaian kasih sayang nan berpanjangan
Darimu insan yang mendoakan kebahagiaan anak-anakmu
Oh… Ibu