Wednesday, November 10, 2010

Hari Arafah 16 Nov 2010

Bersatu dalam doa Hari Arafah

Umat Islam seluruh dunia digesa bersatu menadah tangan berdoa beramai-ramai pada jam 1800 GMT pada Hari Arafah 16 November bersamaan 9 Zulhijjah ini.

Atas keyakinan 'doa adalah senjata orang Islam', muslim di seluruh dunia digesa berdoa 10 minit pada hari tersebut untuk kesatuan dan kesejahteraan ummah.

Inisiatif ini dianjurkan oleh Global Prayer 2010 for Palestin, Peace and Unity.

"Semua muslim di seluruh dunia, digesa bersatu dan mengangkat tangan bersama berdoa secara besar- besaran.

"Doakan agar Allah SWT melindungi umat Islam yang dizalimi seperti di Palestin, Pakistan dan di seluruh dunia dan kembalikan keamanan," kenyataan dalam web mereka dipetik.

Selain itu, mereka juga mahu stesen televisyen, internet dan stesen radio menghebahkan perkara tersebut untuk tujuan lebih ramai menyertai Global Prayer tersebut.

"Kita khabarkan kepada semua agar boleh kumpulkan umat Islam dengan jumlah yang besar pada hari yang mulia ini untuk membantu saudara Islam kita.

"Bolehkah kita meluangkan 10 minit dari masa kita untuk memohon pertolongan Allah?" soalnya.

Pada hari tersebut juga, umat Islam di seluruh dunia disunatkan berpuasa.


Friday, November 5, 2010

Mata Pelajaran Sejarah Menjadi Subjek Teras

MELAKA, 24 Okt - Tiga elemen iaitu unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan akan diajar dalam subjek Sejarah yang dijadikan mata pelajaran teras peringkat sekolah rendah bermula 2014.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pengajaran subjek itu juga bermula dari Tahun Satu di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata kementerian juga telah membuat persediaan daripada segi memberi latihan kepada guru serta memastikan bilangan tenaga pengajar mencukupi untuk mengajar subjek tersebut.

"Kita dah buat projek rintis untuk mengajar Sejarah di sekolah rendah berbanding elemen Sejarah yang pada masa kini diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan," katanya selepas merasmikan penutupan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Ke-22, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di sini.

Mohd Puad diminta mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa subjek Sejarah akan dijadikan wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bermula 2013.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata bermula tahun 2014, mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras bagi peringkat sekolah rendah.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata keputusan kerajaan itu adalah atas kehendak rakyat sendiri yang ingin melihat para pelajar memahami asal usul mereka dalam usaha membentuk negara bangsa.

Beliau juga berkata kementerian akan mengambil pendekatan baru bagi memastikan murid-murid memahami dan menghayati mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah rendah termasuk mengadakan kuiz, lawatan, lakonan dan drama.

- BERNAMA