Friday, August 27, 2010

Nuzul Quran


Nuzul Al-Quran dan Badar Kubro


Pada hari 27 Ogos 2010 bersamaan dengan 17 Ramadhan 1431 hijrah, berlaku peristiwa besar dalam sejarah Islam. Apabila disebut Nuzul al-Quran, pasti ramai yang tahu mengenainya. Namun, jika disebut Badar Kubro, ramai diantara kita yang tidak mengetahuinya.

Perkara ini berlaku mungkin kerana tidak banyak info dan maklumat disebarkan berkenaan peristiwa Badar Kubro berbanding dengan peristiwa Nuzul al-Quran yang amat masyhur dikalangan umat Islam di Malaysia.

NUZUL AL-QURAN

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi S.A.W hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad S.A.W.

Perkataan Nuzul bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi S.A.W, maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Al-Quran bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadah, jinayah, muamalah, sains, teknologi dan sebagainya. Firman Allah S.W.T :

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). – al-An’am : Ayat 38

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar.

Al-Quran juga dikenali sebagai al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah al-‘Alaq :

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. – al-‘alaq : Ayat 1-5

BADAR KUBRO

Tanggal 17 Ramadhan juga, Allah S.W.T mengatur kemenangan umat Islam Generasi Pertama mengalahkan tentera kuffar di pekan Badar, 150 km dari Madinah.

Ia bukan sahaja salah satu kisah perjuangan Rasulullah S.A.W, malah ia adalah satu noktah peralihan yang penting dalam sejarah perjuangan Islam. Ia adalah juga tanda jalan dan pengajaran yang penting kepada para pendakwah sepanjang zaman sehingga ke Hari Kebangkitan.

Sebaik mendengar rombongan dagang Abu Sufian bergerak dari Mekah menuju arah utara ke Syam dimana sudah pasti rombongan tersebut akan melalui Madinah yang berada di tengah-tengah perjalanan, Rasulullah S.A.W merancang untuk merampas harta dagangan tersebut.

Namun, rombongan dagang Abu Sufian seramai 40 orang meluncur laju, berjaya melepasi Madinah dan tiba ke Syam. Rasulullah S.A.W terpaksa pula menunggu mereka pulang melalui Madinah, jaraknya 400 km sebelum tiba ke Mekah di selatan.

Apabila menghampiri Madinah, Abu Sufian dapat merasai bahaya yang menunggu, sedang beliau diiringi oleh hanya 40 orang pedagang, bukan pejuang.

Dia meramas tahi-tahi unta yang berdekatan. Ia berisi biji-biji kurma. Pasti ia unta dari tentera perisikan Muhammad S.A.W kerana unta-unta Madinah, sebuah bandar pertanian kurma, memakan buah kurma, sedang unta-unta kabilah lain memakan rumput kering.

Abu Sufian menghubungi pimpinan Quraisy di Mekah untuk meminta pertolongan. Mekah menghantar 1000 tentera. Harapan 313 orang Islam untuk melawan mudah 40 pedagang bersama Abu Sufian meleset.

Tidak semua orang Islam membawa senjata kerana beranggapan mereka hanya akan melawan 40 orang pedagang.

Perang akhirnya meletus dan diakhiri dengan kemenangan dipihak Islam yang serba kekurangan disegi kelengkapan tetapi tinggi disegi keimanan dan keperwiraan.

HIKMAH DAN PENGAJARAN

Pertama : Perang atau Jihad, adalah satu kefardhuan bagi umat Islam sehingga ke Hari Kiamat. Ia adalah suatu yang realiti. Persediaan kearahnya adalah mesti. Tuntutan terhadapnya demi kemenangan Islam adalah pasti.

Kedua : Didalam hidup ini, kadangkala kita menghendakki sesuatu tetapi Allah menghendaki yang lain pula, dengan hikmah yang tertentu yang hanya diketahui olehNya.

Ketiga : Bilangan dan kelengkapan bukan semestinya membawa kepada kemenangan dalam perjuangan. Hakikatnya, keimanan dan pertolongan Allah S.W.T yang menentukan kejayaan.

Wednesday, August 11, 2010

Marhaban Ya Ramadhan

Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan Program Marhaban Ya Ramadhan pada 05 Ogos 2010. Program ini bertujuan untuk menyediakan diri dari segi rohani dan jasmani bagi menyambut kedatangan bulan yang penuh keberkatan.

Rsulullah S.A.W dan para sahabat sentiasa gembira menyambut setiap kali datangnya Ramadhan. " Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardhukan atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan telah dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan." ( Riwayat Ahmad )


Ustaz Zakaria sedang memberikan ceramah

Begitu bersemangat murid-murid
mendengar ceramah

Sessi menjawab Kuiz Ramadhan

Beratur untuk jamuan tengahari

Di kantin

Jamuan untuk guru dan kakitangan


Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Wednesday, August 4, 2010

Persiapan Menyambut Ramadhan Al-Mubarak



Kurang daripada seminggu lagi, umat Islam di seluruh pelusuk dunia akan menyambut kedatangan bulan yang paling mulia, Ramadan Al-Mubarak. Bicara soal sambut-menyambut tentulah perlu ada persiapannya. Mungkin ketika ini ramai orang sudah membuat persiapan bagi menyambut ketibaan Ramadan. Namun, persoalannya bagaimanakah persediaan itu?

Persiapan yang mesti dibuat hendaklah merangkumi persiapan fizikal, mental dan ruhani untuk menyambut Ramadhan Al-Mubarak.



Apakah persiapan fizikal?

Persiapan fizikal bukanlah "pulun" habis-habisan sebelum menyambut Ramadhan. Bukannya memastikan perut mampu bertahan menghadapi Ramadhan dengan bekalan makanan yang menjadi isi perut sehingga bertambah beberapa kilogram berat badan!

Persiapan fizikal ialah melatih diri berpuasa. Sebagaimana kita perlu warming up atau stretching dahulu sebelum masuk gelanggang. Hal ini bagi memastikan kita bersedia dan biasa dengan keadaan berpuasa. Menahan lapar dan dahaga dan banyak mengerjakan amal soleh. Bahkan, berpuasa pada bulan Rejab dan Syaaban amat digalakkan dalam Islam. Sunat. Rasulullah tidak pernah berpuasa lebih banyak pada bulan lain melainkan Syaaban. Kita hendaklah memastikan kesihatan kita berada dalam keadaan yang baik supaya mampu berpuasa dengan sempurna. Alangkah ruginya jika kita mendapat sakit di bulan Ramadan sedang orang lain ralit berpesta ibadah. Sudahlah bulan lain tidak banyak amalan kita. Malangnya, bulan yang digandakan pahala ini juga kita tidak dapat mengerjakannya. Apa lagi yang ada pada kita untuk berdepan dengan Allah di hari Akhirat?



Persiapan yang kedua ialah akal.

Persiapan akal ialah kita sudah bersedia dengan ilmu. Ramai orang berpuasa tetapi punyai ragu-ragu dalam berpuasa dan beribadah di bulan Ramadhan. Ada yang tidak mengetahui apakah ibadah-ibadah yang afdal di bulan ini. Inilah perlunya persiapan ilmu.

Alangkah baiknya jika ia diisi dengan ilmu ukhrawi dan ilmu duniawi yang bermanfaat. Hari ini pelbagai jenama penerbit buku telah mengambil inisiatif untuk highlight buku-buku yang khusus bagi bulan-bulan tertentu. Contohnya bulan Ramadan bakal tiba ini, ada flyers khusus senarai buku-buku berkaitan Ramadan. Ada juga kedai buku yang membuat rak khas buku-buku Ramadan. MasyaAllah...Betapa baiknya jika kita hadam buku-buku itu di siang hari sepanjang Ramadan. Bukan saja dapat mengisi masa yang terluang, manfaat ilmu dan pahala juga kita peroleh.

Persiapan mental yang paling utama ialah setkan matlamat bahawa kita berpuasa ini untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa!

Yang dikatakan persiapan ruhani itu adalah mendidik nafsu kita.

Latihlah diri untuk mula bangun awal supaya dapat bersahur. Bukan untuk kekuatan di siang hari tetapi ia juga adalah suatu ibadah. Paling baik bangun lebih awal sedikit supaya sempat berqiamulail sekurang-kurangnya solat sunat Tahajud dan sunat Taubat. Giatkan lagi pembacaan al-Quran supaya lebih fasih dan tidak terasa berat untuk membaca lebih banyak di bulan Ramadhan. Perbanyakkan amalan sedekah di bulan Ramadan. Kalau boleh buat satu checklist harian atau jadual supaya kita boleh mendisiplinkan diri dengan rutin ibadah dan memastikan kita tidak meninggalkan nikmat beribadah di bulan yang mulia ini.

Akhir sekali, yang paling penting ialah istiqamah. Tidak kira Ramadan atau bukan Ramadan, kita tetap rajin beribadah. Jangan bermusim dalam ibadah. Ramadan bukanlah bulan penuh dengan adat tetapi ibadah! Justeru, tanamkan dalam hati kita untuk terus istiqamah dalam mengerjakan amal soleh kepada Allah SWT. Terus istiqamah untuk mengimarahkan rumah Allah. InsyaAllah.


Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada warga SKKT dan seluruh umat Islam.


Sekian, wassalam.