Friday, December 31, 2010

Sesi Orientasi 2011 Dan Cuti Umum


SESI ORIENTASI PERSEKOLAHAN 2011
Tahniah diucapkan kepada pasukan bola sepak Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi pihak warga Guru mengucapkan terima kasih dan menghormati serta menghargai Cuti Umum yang diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Disember 2010 sempena kejayaan pasukan bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF.

Walaubagaimanapun memandangkan persiapan awal telah dibuat oleh banyak sekolah untuk sesi orientasi dan pendaftaran murid pada hari esok sebagai persediaan sesi persekolahan 2011. Maka demi kepentingan Pelajaran dan kemudahan kepada ibubapa, Kementerian menyarankan supaya aktiviti tersebut diteruskan.

Guru-guru yang terlibat boleh dipertimbangkan diberi Cuti Ganti.

Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya, 30 Disember 2010


Wednesday, November 10, 2010

Hari Arafah 16 Nov 2010

Bersatu dalam doa Hari Arafah

Umat Islam seluruh dunia digesa bersatu menadah tangan berdoa beramai-ramai pada jam 1800 GMT pada Hari Arafah 16 November bersamaan 9 Zulhijjah ini.

Atas keyakinan 'doa adalah senjata orang Islam', muslim di seluruh dunia digesa berdoa 10 minit pada hari tersebut untuk kesatuan dan kesejahteraan ummah.

Inisiatif ini dianjurkan oleh Global Prayer 2010 for Palestin, Peace and Unity.

"Semua muslim di seluruh dunia, digesa bersatu dan mengangkat tangan bersama berdoa secara besar- besaran.

"Doakan agar Allah SWT melindungi umat Islam yang dizalimi seperti di Palestin, Pakistan dan di seluruh dunia dan kembalikan keamanan," kenyataan dalam web mereka dipetik.

Selain itu, mereka juga mahu stesen televisyen, internet dan stesen radio menghebahkan perkara tersebut untuk tujuan lebih ramai menyertai Global Prayer tersebut.

"Kita khabarkan kepada semua agar boleh kumpulkan umat Islam dengan jumlah yang besar pada hari yang mulia ini untuk membantu saudara Islam kita.

"Bolehkah kita meluangkan 10 minit dari masa kita untuk memohon pertolongan Allah?" soalnya.

Pada hari tersebut juga, umat Islam di seluruh dunia disunatkan berpuasa.


Friday, November 5, 2010

Mata Pelajaran Sejarah Menjadi Subjek Teras

MELAKA, 24 Okt - Tiga elemen iaitu unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan akan diajar dalam subjek Sejarah yang dijadikan mata pelajaran teras peringkat sekolah rendah bermula 2014.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pengajaran subjek itu juga bermula dari Tahun Satu di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata kementerian juga telah membuat persediaan daripada segi memberi latihan kepada guru serta memastikan bilangan tenaga pengajar mencukupi untuk mengajar subjek tersebut.

"Kita dah buat projek rintis untuk mengajar Sejarah di sekolah rendah berbanding elemen Sejarah yang pada masa kini diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan," katanya selepas merasmikan penutupan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Ke-22, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di sini.

Mohd Puad diminta mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa subjek Sejarah akan dijadikan wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bermula 2013.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata bermula tahun 2014, mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras bagi peringkat sekolah rendah.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata keputusan kerajaan itu adalah atas kehendak rakyat sendiri yang ingin melihat para pelajar memahami asal usul mereka dalam usaha membentuk negara bangsa.

Beliau juga berkata kementerian akan mengambil pendekatan baru bagi memastikan murid-murid memahami dan menghayati mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah rendah termasuk mengadakan kuiz, lawatan, lakonan dan drama.

- BERNAMA

Monday, September 20, 2010

Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR


SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR

SEMOGA ADIK-ADIK SEMUA BERJAYA DENGAN CEMERLANG

DALAM PEPERIKSAAN UPSR PADA

21 - 23 OKTOBER 2010






Majlis Restu Ilmu

Pada pagi tadi 20 Oktober 2010 satu majlis Restu Ilmu untuk pelajar-pelajar UPSR yang akan menduduki peperiksaan pada 21 - 23 Oktober ini telah diadakan. Guru Besar, Penolong-Penolong Kanan, guru-guru dan semua warga SKKT hadir dalam majlis tersebut. Antara Aktiviti dalam program tersebut ialah lafaz restu daripada wakil Guru dan Pelajar, Penyerahan Simbol restu daripada guru-guru dan juga upacara bersalam-salaman antara pelajar, guru-guru dan warga SKKT.

LAFAZ RESTU DARI GURU

"Kami berdoa dan merestui segala ilmu yang telah dicurahkan untuk mencapai kecemerlangan. Kami ikhlas mendidikmu. Kami rela melepaskanmu untuk pergi berjuang berbekalkan ilmu yang telah dicurahkan. Gunakanlah sebaik-baiknya. Jawapan ada di tanganmu......buatlah yang terbaik.......kerana anda adalah yang terbaik bagi kami...selamat berjuang"

Friday, September 17, 2010

Puasa 6 Syawal

Ramadhan telah berlalu dan kini Syawal telah tiba. Namun tarbiyah Ramadhan diikuti tarbiyah Syawal juga tarbiyah bulan-bulan lain semuanya dan berkesinambungan dengan ketaatan dan ibadah merupakan bukti penerimaan Ramadhan. Ini kerana Rasul saw bersabda:

“ Sesungguhnya setiap amalan perlu aktif dan setiap keaktifan adakalanya berlaku saat kemerosotan. Justeru barangsiapa semasa saat kemerosotannya kembali kepada sunnahku, maka dia memperolehi petunjuk tetapi barangsiapa semasa saat itu kembali kepada yang lainnya, maka ia pasti akan sesat”.

Wahai orang yang Allah berikan taufik kepadanya di bulan Ramadhan. Janganlah anda kembali kepada dosa-dosa yang anda lakukan sebelum Ramadhan seperti amalan mengumpat, mencerca, menipu, khianat dan sebagainya..kerana anda telah merasai kemanisan air mata dan kelazatan munajat yang merupakan saat yang paling bahagia bagi para hamba. Oleh itu janganlah anda tinggalkan kebahagiaan yang telah dinikmati itu. Begitu juga amalan qiam, puasa, sedekah, tilawah al-Quran dan zikir.

Puasa sunat di bulan Syawal selepas Ramadhan adalah di antara peluang terbaik kerana orang yang berpuasa masih berada pada ketaatan dan ibadah yang lain setelah selesai puasa Ramadhan.

Nabi saw telah menyatakan kepada umatnya tentang kelebihan puasa enam Syawal dan mendorong mereka dengan menggunakan teknik galakan supaya melaksanakan puasa 6 hari ini..sabda nabi saw:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, maka ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun”. (Muslim dan lainnya)

Menurut Imam Nawawi: Para ulamak menyatakan: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua bulan”.

Ibn Rejab menukilkan dari Ibn Mubarak katanya: Bagi yang berpuasa 6 Syawal secara berkesinambungan selepas puasa Ramadhan, maka dia wajib memperolehi pahala puasa sepanjang tahun.

Jikalau tanda penerimaan sesuatu ibadah ialah kecenderungan melakukan ibadah seterusnya, maka puasa 6 Syawal selepas Ramadhan adalah bukti kesyukuran orang berpuasa kepada Allah kerana memberi taufik kepada puasa Ramadhan dan menambahkan kebaikan, sepertimana puasanya sebagai bukti kecintaan kepada ibadah dan ketaatan dan kecenderungan untuk meneruskan jalan ibadah. Bahkan ia seakan-akan suatu perjanjian dengan Allah untuk bersungguh-sungguh beribadah dan melaksanakan ketaatan kerana ia tidak mahu hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadhan dan meninggalkan ibadah selepas Ramadhan.

Al-Hafiz Ibn Rejab al-Hanbali berkata: “Orang yang menggantikan nikmat taufik puasa di bulan Ramadhan dengan melakukan maksiat selepasnya, maka sebenarnya dia seperti orang menukarkan nikmat Allah dengan kekufuran. Ada yang mengatakan kepada Bisyr al-Hafiy: Suatu kaum yang beribadah dan bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan. Lalu Bisyr berkata: Seburuk-buruk suatu kaum ialah yang tidak mengenali Allah dengan sebenarnya kecuali di bulan Ramadhan sebaliknya orang soleh sentiasa beribadah dan bersungguh-sungguh sepanjang tahun”.


Di antara hikmat puasa 6 Syawal

1. Puasa 6 Syawal selepas Ramadhan menyempurnakan pahala puasa sepanjang tahun bagi seorang muslim.

2. Puasa di bulan Syawal dan Syaaban sama seperti solat sunat dan solat rawatib sebelum atau selepas solat fardu yang berfungsi menampung segala kekurangan dan kecacatan dalam ibadah fardu, kerana ibadah fardu disempurnakan oleh ibadah nawafil di hari Kiamat. Bahkan ramai orang yang puasanya terdapat kekurangan dan kecacatan, maka ia perlukan amalan yang dapat menampung atau melengkapkan kekurangan itu.

3. Puasa Ramadhan mewajibkan seseorang memperolehi keampunan daripada dosa-dosa yang terdahulu. Oleh itu kembali berpuasa selepas Eidul Fitri sebagai tanda syukur kepada nikmat ini kerana tiada nikmat yang lebih besar daripada keampunan daripada dosa.

Allah telah memerintahkan hambaNya supaya mensyukuri nikmat puasa Ramadhan dengan sentiasa mengingatiNya, berzikir dan bermacam-macam cara bersyukur yang lain. Firman Allah:

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur” (Al-Baqarah: 185)

Justeru tanda kesyukuran hamba kepada Allah di atas taufikNya dengan puasa Ramadhan, pertolongan dan keampunan daripada dosa ialah melaksanakan ibadah puasa sunat seterusnya.

4. Amalan-amalan yang mendekatkan seorang hamba dengan Allah pada bulan Ramadhan tidak terhenti dengan berlalunya Ramadhan, bahkan masih kekal selagi hamba itu hidup. Oleh itu berpuasa selepas Eidul Fitri menunjukkan kembalinya kepada keinginan untuk berpuasa. Baginya puasa tidak menjemukan dan membebankannya.

Permasalahan berkaitan puasa 6 Syawal

-Setengah orang berpendapat bahawa jika tahun ini mereka berpuasa 6 Syawal, maka mereka mesti berpuasa 6 Syawal pada setiap tahun. Pendapat ini tidak betul kerana ibadah ini adalah pilihan semata-mata sama ada mahu berpuasa tahun ini atau tidak pada tahun berikutnya. Bukanlah wajib berpuasa setiap tahun.

Marilah kita mengingati firman Allah:

“Dan bersegralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa ”. (Ali-Imran:133)


-Setengah orang berpendapat bila seseorang telah mula berpuasa 6 hari di bulan Syawal maka ia mestilah menyelesaikannya sekaligus dan tidak boleh berhenti atau terputus sehari atau dua hari sama ada atas sesuatu sebab atau sakit semsa puasa. Pendapat ini tidak betul kerana orang yang melakukan amalan sunat berhak ke atas dirinya. Ia boleh memutuskan puasanya pada bila-bila masa yang dia mahu berdasarkan sabda nabi saw:

الصائم المتطوع أمير نفسه، إن شاء صام وإن شاء أفطر
“Orang yang berpuasa sunat adalah ketua (berhak) ke atas dirinya dia boleh memilih sama ada mahu berpuasa atau berbuka (tidak berpuasa)”. (Tirmizi)

-Bagi orang yang mahu berpuasa 6 Syawal sepatutnya memulakan niat puasa pada malamnya, kerana puasa pada hari-hari yang khusus pada waktu yang terbatas mempunyai ganjaran yang khusus dan tidak sama seperti puasa sunat mutlak.

-Bagi sesiapa yang tertinggal puasa beberapa hari di bulan Ramadhan, maka ia mestilah mengqada’nya (menggantikannya) dahulu, kemudian barulah berpuasa 6 Syawal kerana puasa Ramadhan adalah ibadah fardu dan puasa 6 Syawal adalah sunat sahaja berdasarkan zahir hadith:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari di bulan Syawal..”. (Hadith)

Namun masalah ini tidak terlepas daripada perbezaan pendapat ulamak.

-Disunatkan bersegera melaksanakan puasa 6 Syawal yang dimulakan pada hari kedua Syawal, tetapi tidak menjadi masalah jika melewatkan pada pertengahan bulan atau penghujung bulan.

-Puasa Ramadhan yang diikuti puasa 6 hari di bulan Syawal ganjarannya menyamai puasa sepanjang tahun kerana satu hasanah menyamai 10 gandaan berdasarkan hadith Thuban r.a dari nabi saw yang bersabda:

“Puasa Ramadhan pahalanya menyamai sepuluh bulan. Puasa enam hari di bulan Syawal pahalanya menyamai dua bulan. Dengan itu seolah-olah puasa sepanjang tahun”. (Ahmad dan Ibn Hibban)


Thursday, September 9, 2010

Salam Aidil Fitri


Salam Aidil Fitri: Pengertian Sebuah Kemenangan

Ramadhan hampir meninggalkan kita. Syawal pasti akan menjelang. Di dalam detik beberapa ketika lagi ini, mari kita sama-sama berada di dalam kesedaran tertinggi melihat aturan Allah SWT menjadikan sebuah proses tarbiah atau pemantapan diri yang sejati…jiwa…roh…iaitu kita yang sebenar.

Di kala ini ramai yang berkata dirinya berasa sedih kerana Ramadhan akan kita tinggalkan. Tidak kisahlah samada sedih kerana suasana Ramadhan tidak lagi dirasa di bulan-bulan lain atau sedih kerana tidak dapat ganjaran atau rahmat yang banyak daripada Allah SWT ke atas ibadah yang kita lakukan semasa Ramadhan, Ramadhan tetap akan meninggalkan kita.

Yang utama yang harus dinilaikan adalah kesan Ramadhan ke atas diri kita. Lalu di sinilah kita ingin melihat samada kita sedih atau tidak dengan pencapaian diri kita dengan latihan Ramadhan.

Allah SWT sentiasa memberikan rahmatNya kepada kita tidak kira bulan atau hari atau tahun. Ramadhan sebuah bulan tarbiyah adalah bulan bimbingan secara langsung terus daripada Allah SWT dengan kewajipan kita mengikut latihan ini walaupun suka atau terpaksa. Sebenarnya kita seharusnya setiap saat kembali kepada fitrah tidak kira bulan Ramadhan atau dibulan yang lain.

Cuma perbezaan di bulan Ramadhan, kita disediakan oleh Allah SWT dengan tarbiyah yang diwajibkan. Tidak seperti bulan-bulan lain, di mana puasa yang diwajibkan di bulan Ramadhan cuma menjadi sunat yang digalakkan di bulan yang lain.

Jiwa kita…diri yang sejati ini disucikan lagi dengan zakat fitrah yang juga diwajibkan. Zakat yang bertujuan untuk melatih diri kita melepaskan harta dunia yang sentiasa diidamkan (nafsu) oleh jasad…emosi dan fikiran.

Mengapa jumlahnya sekadar satu gantang beras? Kerana Allah SWT memberi peluang kepada semua baik kaya atau miskin mampu menunaikan zakat ini. Lalu tidak dibebankan dengan syaratnya agar semua kita sama-sama berpeluang di dalam melatih diri kita melepaskan diri dari keterikatan harta yang sementara tidak kira si miskin atau si kaya.

Ramadhan yang kita akan tinggalkan ini jangan dihitung dari sudut berapa banyak rahmat yang Allah SWT berikan atau sediakan di dalamnya. Kerana kita tidak mungkin mampu terhitung rahmat Ilahi yang sedia kita tahu memang telalu banyak.

Di akhir Ramadhan ini yang perlu kita lihat adalah sejauh mana diri kita yang sejati ini mampu melepaskan keterikatan dengan jasad…fikiran dan emosi yang penuh dengan nafsu yang sentiasa ingin berlebihan di dalam sesuatu hal.

Di bulan Syawal ini yang perlu kita nilaikan adakah diri sejati ini sentiasa dekat dengan Allah SWT…diri yang bertaqwa.

Di bulan kemenangan inilah kita mampu menilai jelas bagaimana diri kita menyambut hari kemenangan iaitu menang kerana berjaya kembali kepada fitrah. Bukan sebuah kemenangan kerana mampu berpuasa penuh. Atau menang kerana mampu menunaikan solat terawih cukup 30 malam. Atau menang kerana mampu menahan kehendak nafsu di siang hari namun di malamnya tidak ubah seperti sebelumnya.

Apalah makna kemenangan jika kita sekadar berjaya memungut sebanyak mungkin ganjaran Ramadhan sedangkan diri yang sejati masih tidak berubah. Apalah ertinya sebuah kemenangan jika kita masih lagi bersikap tamak, bakhil dan banyak yang tidak puas hati dengan ketentuan Allah SWT. Apalah ada dengan sebuah kemenangan fitrah jika kita merayakan kemenangan dengan sekadar kegembiraan namun tidak menyedari sebuah pengertian kemenangan ini.

Nanti tidak ubah jadinya sama seperti sekadar mengibar bendera Malaysia di musim kemerdekaan untuk menunjukkan kita ini cintakan negara. Sedangkan roh iaitu diri sejatinya entah ke mana.

Sama juga seperti hari raya Aidilfitri. Sekadar pemberian kad yang cantik atau ucapan dari mulut yang manis memohon maaf namun roh iaitu diri yang sejati entah ke mana.

Aidil Fitri atau perayaan fitrah iaitu kemenangan kita kembali kepada fitrah bersama ketaqwaan kepada Allah SWT dalam diri kita. Kita berpuasa…melatih melepaskan jiwa..diri sejati..roh..diri yang sebenar daripada kehendak (nafsu) jasad yang penuh dengan fikiran dan emosi. Kita tidak mahu lagi mengikut kehendak jasad tetapi kita ingin memimpin jasad ke arah yang diilhamkan oleh Allah SWT.

Diri sejati yang ditarbiyahkan dengan puasa dan zakat akan kembali kepada fitrah iaitu sentiasa ingin dekat dengan Allah SWT iaitu menjadi makhluk yang bertaqwa. Diri sejati yang tidak lagi berada di dalam emosi akan kembali memimpin emosi mengubah keberadaannya berada di atas emosi…di atas rasa.

Diri sejati ini yang berjaya kembali kepada fitrah tidak akan menyambut kemenangan dengan penuh pembaziran. Diri sejati tidak akan menyambut kemenangan dengan berpasang-pasang baju yang hanya tujuannya pasti tidak seiring dengan kehendak Ilahi. Diri sejati tidak akan menyambut kemenangan ini dengan maksiat hasil dari pergaulan bebas lelaki dan perempuan.

Diri sejati yang bertaqwa pasti sang jiwa yang sentiasa redha dengan kehendak Allah SWT dan redha dengan sesama makhluk. Apabila redha muncul di dalam jiwa, pasti tiada lagi rasa tinggi, ego, riak, takabur dan sifat mazmummah yang lain.

Ketika diri sejati redha meredhai dengan Yang Maha Meredhai, pasti akan diilhamkan ke dalam diri sejati rasa redha sesama makhluk lalu ketika itu maaf memaafi akan terasa kuat…utuh…kukuh di dalam diri.

Ketika memohon kemaafan, mohonlah dengan penuh kesedaran dan ketika memberikan kemaafan, berilah dengan penuh redha….penuh ikhlas dengan penuh kesedaran yang kita benar-benar memaafkan.

Bukan sekadar ucapan sekadar sebenarnya untuk menunjukkan kebaikan atau juga sekadar permohonan sekadar suka-suka bertukar-tukar kad…bertukar-tukar ucapan…bersalam-salaman.

Sambutlah kemenangan dengan diri yang sejati yang benar-benar kembali kepada fitrah. Diri sejati yang bertaqwa kepada Allah SWT. Diri sejati yang dekat dengan Allah SWT. Diri sejati yang memiliki kesedaran tertinggi setiap saat.

Saya ( admin blog ) dan keluarga memohon maaf di atas kesalahan kami…zahir dan batin..sepanjang perkenalan kita ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Sambutlah kemenangan dengan penuh kesedaran tertinggi.

Taqabbalullah minna waminka (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).

Allahu Akbar… Allahu Akbar… Allahu Akbar…
Laa Ilaaha Illallaah wallaahu Akbar…
Allahu Akbar wa Lillaahilhamd…

Monday, September 6, 2010

Lailatulqadar

LAILATULQADAR MALAM YANG DINANTI OLEH MUKMIN




10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.

Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Sebab turun surah al-Qadr

Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.

Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah w.s.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.

Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menyebut

Maksudnya: "Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya"

Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah. Kata Aisyah r.a.

Maksudnya: "Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."

Kelebihan Menghayati Malam Lailatulqadar

Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.

Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.

Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.

Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:

Maksudnya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain."

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.

Doa khusus di Malam Lailatulqadar

Doa tersebut diterangkan di dalam hadis berikut

1. Hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a.

Maksudnya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagimana kiranya saya mengetahui malam Lailatulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut"

Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silaf hamba lagi suka memaafkan oleh itu maafkanlah salah silafku. Terdapat juga beberapa doa yang disar ankan oleh para alim ulamak kita melakukannya seperti membaca doa

Orang yang beribadah pada 10 malam yang tersebut akan mendapat rahmat yang dijanjikan dan telah sabit di dalam hadis-hadis yang sahih bahawa malam Lailatulqadar ujud pada salah satu malam yang 10 itu terutama pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Orang-orang yang tekun beribadah di dalam masa tersebut untuk menemui malam Lailatulqadar akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu samada ia dapat menemui atau tidak dan tidak melihat apa-apa kerana yang penting yang tersebut di dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim ialah:

1. Menghayati malam tersebut dengan beribadah.
2. Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatulqadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
3. Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmatnya dan keredaannya.

Adalah diharapkan sebelum daripada kita beramal ibadat di malam Lailatulqadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya.

Tanda Malam Lailatulqadar

Para alim ulamak r.h. menyebutkan beberapa tanda atau alamat berhubung dengan malam Lailatulqadar:

- Ada yang berkata orang yang menemui malam Lailatulqadar ia melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga di segala cerok yang gelap gelita.
- Ada pula yang berkata ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari Malaikat.
- Ada juga yang berkata ia melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
- Ada pula yang berkata doa permohonannya makbul.

Imam Tabari r.h. memilih kaul yang menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya ia dapat melihatnya kerana tidak disyaratkan melihat sesuatu atau mendengarnya untuk menemui malam Lailatulqadar.

Wednesday, September 1, 2010

Majlis Berbuka Puasa 2010

Hari Isnin 30 Ogos 2010 bersamaan 16 Ramadhan 1431 H, pihak sekolah dengan kerjasama PIBG telah mengadakan majlis berbuka puasa.
Majlis yang julung-julung kali diadakan ini telah disertai oleh semua warga SKKT bersama keluarga. Pelbagai ragam dan kerenah anak-anak yang turut hadir telah memeriahkan lagi majlis.

Pihak sekolah juga mengambil kesempatan merakamkan ribuan terima kasih atas sokongan moral dan wang ringgit untuk menjayakan majlis ini.

Guru Besar bersiap sedia untuk menyambut tetamu

Dewan Besar SKKT
- sedang dihias untuk menerima tetamu

Menu istimewa

YDP PIBG turut hadir

Ajk PIBG dan tetamu

Suasana dalam dewan

Bakal-bakal guru - ROS

PK Ptd dan keluarga

Doa untuk berbuka


Friday, August 27, 2010

Nuzul Quran


Nuzul Al-Quran dan Badar Kubro


Pada hari 27 Ogos 2010 bersamaan dengan 17 Ramadhan 1431 hijrah, berlaku peristiwa besar dalam sejarah Islam. Apabila disebut Nuzul al-Quran, pasti ramai yang tahu mengenainya. Namun, jika disebut Badar Kubro, ramai diantara kita yang tidak mengetahuinya.

Perkara ini berlaku mungkin kerana tidak banyak info dan maklumat disebarkan berkenaan peristiwa Badar Kubro berbanding dengan peristiwa Nuzul al-Quran yang amat masyhur dikalangan umat Islam di Malaysia.

NUZUL AL-QURAN

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi S.A.W hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad S.A.W.

Perkataan Nuzul bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi S.A.W, maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Al-Quran bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadah, jinayah, muamalah, sains, teknologi dan sebagainya. Firman Allah S.W.T :

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). – al-An’am : Ayat 38

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar.

Al-Quran juga dikenali sebagai al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah al-‘Alaq :

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. – al-‘alaq : Ayat 1-5

BADAR KUBRO

Tanggal 17 Ramadhan juga, Allah S.W.T mengatur kemenangan umat Islam Generasi Pertama mengalahkan tentera kuffar di pekan Badar, 150 km dari Madinah.

Ia bukan sahaja salah satu kisah perjuangan Rasulullah S.A.W, malah ia adalah satu noktah peralihan yang penting dalam sejarah perjuangan Islam. Ia adalah juga tanda jalan dan pengajaran yang penting kepada para pendakwah sepanjang zaman sehingga ke Hari Kebangkitan.

Sebaik mendengar rombongan dagang Abu Sufian bergerak dari Mekah menuju arah utara ke Syam dimana sudah pasti rombongan tersebut akan melalui Madinah yang berada di tengah-tengah perjalanan, Rasulullah S.A.W merancang untuk merampas harta dagangan tersebut.

Namun, rombongan dagang Abu Sufian seramai 40 orang meluncur laju, berjaya melepasi Madinah dan tiba ke Syam. Rasulullah S.A.W terpaksa pula menunggu mereka pulang melalui Madinah, jaraknya 400 km sebelum tiba ke Mekah di selatan.

Apabila menghampiri Madinah, Abu Sufian dapat merasai bahaya yang menunggu, sedang beliau diiringi oleh hanya 40 orang pedagang, bukan pejuang.

Dia meramas tahi-tahi unta yang berdekatan. Ia berisi biji-biji kurma. Pasti ia unta dari tentera perisikan Muhammad S.A.W kerana unta-unta Madinah, sebuah bandar pertanian kurma, memakan buah kurma, sedang unta-unta kabilah lain memakan rumput kering.

Abu Sufian menghubungi pimpinan Quraisy di Mekah untuk meminta pertolongan. Mekah menghantar 1000 tentera. Harapan 313 orang Islam untuk melawan mudah 40 pedagang bersama Abu Sufian meleset.

Tidak semua orang Islam membawa senjata kerana beranggapan mereka hanya akan melawan 40 orang pedagang.

Perang akhirnya meletus dan diakhiri dengan kemenangan dipihak Islam yang serba kekurangan disegi kelengkapan tetapi tinggi disegi keimanan dan keperwiraan.

HIKMAH DAN PENGAJARAN

Pertama : Perang atau Jihad, adalah satu kefardhuan bagi umat Islam sehingga ke Hari Kiamat. Ia adalah suatu yang realiti. Persediaan kearahnya adalah mesti. Tuntutan terhadapnya demi kemenangan Islam adalah pasti.

Kedua : Didalam hidup ini, kadangkala kita menghendakki sesuatu tetapi Allah menghendaki yang lain pula, dengan hikmah yang tertentu yang hanya diketahui olehNya.

Ketiga : Bilangan dan kelengkapan bukan semestinya membawa kepada kemenangan dalam perjuangan. Hakikatnya, keimanan dan pertolongan Allah S.W.T yang menentukan kejayaan.

Wednesday, August 11, 2010

Marhaban Ya Ramadhan

Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan Program Marhaban Ya Ramadhan pada 05 Ogos 2010. Program ini bertujuan untuk menyediakan diri dari segi rohani dan jasmani bagi menyambut kedatangan bulan yang penuh keberkatan.

Rsulullah S.A.W dan para sahabat sentiasa gembira menyambut setiap kali datangnya Ramadhan. " Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardhukan atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan telah dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan." ( Riwayat Ahmad )


Ustaz Zakaria sedang memberikan ceramah

Begitu bersemangat murid-murid
mendengar ceramah

Sessi menjawab Kuiz Ramadhan

Beratur untuk jamuan tengahari

Di kantin

Jamuan untuk guru dan kakitangan


Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Wednesday, August 4, 2010

Persiapan Menyambut Ramadhan Al-Mubarak



Kurang daripada seminggu lagi, umat Islam di seluruh pelusuk dunia akan menyambut kedatangan bulan yang paling mulia, Ramadan Al-Mubarak. Bicara soal sambut-menyambut tentulah perlu ada persiapannya. Mungkin ketika ini ramai orang sudah membuat persiapan bagi menyambut ketibaan Ramadan. Namun, persoalannya bagaimanakah persediaan itu?

Persiapan yang mesti dibuat hendaklah merangkumi persiapan fizikal, mental dan ruhani untuk menyambut Ramadhan Al-Mubarak.



Apakah persiapan fizikal?

Persiapan fizikal bukanlah "pulun" habis-habisan sebelum menyambut Ramadhan. Bukannya memastikan perut mampu bertahan menghadapi Ramadhan dengan bekalan makanan yang menjadi isi perut sehingga bertambah beberapa kilogram berat badan!

Persiapan fizikal ialah melatih diri berpuasa. Sebagaimana kita perlu warming up atau stretching dahulu sebelum masuk gelanggang. Hal ini bagi memastikan kita bersedia dan biasa dengan keadaan berpuasa. Menahan lapar dan dahaga dan banyak mengerjakan amal soleh. Bahkan, berpuasa pada bulan Rejab dan Syaaban amat digalakkan dalam Islam. Sunat. Rasulullah tidak pernah berpuasa lebih banyak pada bulan lain melainkan Syaaban. Kita hendaklah memastikan kesihatan kita berada dalam keadaan yang baik supaya mampu berpuasa dengan sempurna. Alangkah ruginya jika kita mendapat sakit di bulan Ramadan sedang orang lain ralit berpesta ibadah. Sudahlah bulan lain tidak banyak amalan kita. Malangnya, bulan yang digandakan pahala ini juga kita tidak dapat mengerjakannya. Apa lagi yang ada pada kita untuk berdepan dengan Allah di hari Akhirat?



Persiapan yang kedua ialah akal.

Persiapan akal ialah kita sudah bersedia dengan ilmu. Ramai orang berpuasa tetapi punyai ragu-ragu dalam berpuasa dan beribadah di bulan Ramadhan. Ada yang tidak mengetahui apakah ibadah-ibadah yang afdal di bulan ini. Inilah perlunya persiapan ilmu.

Alangkah baiknya jika ia diisi dengan ilmu ukhrawi dan ilmu duniawi yang bermanfaat. Hari ini pelbagai jenama penerbit buku telah mengambil inisiatif untuk highlight buku-buku yang khusus bagi bulan-bulan tertentu. Contohnya bulan Ramadan bakal tiba ini, ada flyers khusus senarai buku-buku berkaitan Ramadan. Ada juga kedai buku yang membuat rak khas buku-buku Ramadan. MasyaAllah...Betapa baiknya jika kita hadam buku-buku itu di siang hari sepanjang Ramadan. Bukan saja dapat mengisi masa yang terluang, manfaat ilmu dan pahala juga kita peroleh.

Persiapan mental yang paling utama ialah setkan matlamat bahawa kita berpuasa ini untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa!

Yang dikatakan persiapan ruhani itu adalah mendidik nafsu kita.

Latihlah diri untuk mula bangun awal supaya dapat bersahur. Bukan untuk kekuatan di siang hari tetapi ia juga adalah suatu ibadah. Paling baik bangun lebih awal sedikit supaya sempat berqiamulail sekurang-kurangnya solat sunat Tahajud dan sunat Taubat. Giatkan lagi pembacaan al-Quran supaya lebih fasih dan tidak terasa berat untuk membaca lebih banyak di bulan Ramadhan. Perbanyakkan amalan sedekah di bulan Ramadan. Kalau boleh buat satu checklist harian atau jadual supaya kita boleh mendisiplinkan diri dengan rutin ibadah dan memastikan kita tidak meninggalkan nikmat beribadah di bulan yang mulia ini.

Akhir sekali, yang paling penting ialah istiqamah. Tidak kira Ramadan atau bukan Ramadan, kita tetap rajin beribadah. Jangan bermusim dalam ibadah. Ramadan bukanlah bulan penuh dengan adat tetapi ibadah! Justeru, tanamkan dalam hati kita untuk terus istiqamah dalam mengerjakan amal soleh kepada Allah SWT. Terus istiqamah untuk mengimarahkan rumah Allah. InsyaAllah.


Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada warga SKKT dan seluruh umat Islam.


Sekian, wassalam.




Monday, June 21, 2010

UPSR MUNGKIN DIMANSUHKAN

KEMENTERIAN PELAJARAN MUNGKIN MANSUH UPSR DAN PMR


MUAR, 20 Jun - Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM sahaja," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.

Beliau berkata peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Katanya pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya.

Muhyiddin berkata secara peribadi beliau berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu di peringkat akhir persekolahan atau sebelum memasuki institusi pengajian tinggi kerana di dalam soal kerjaya pun hanya SPM sahaja yang digunakan.

Namun menurutnya UPSR dan PMR diperlukan untuk membuat penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh atau sekolah aliran tertentu.

Beliau berkata dengan hanya satu sahaja peperiksaan awam, guru dan pelajar boleh menumpukan usaha ke arah menggilap kreativiti, sifat interaktif dan aktiviti ko-kurikulum lain, serta sukan.

Kepada satu soalan, Muhyiddin berkata keadaan di mana jumlah pelajar perempuan cemerlang di dalam pelajaran meningkat bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia.

"Kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar yang memasuki universiti adalah perempuan dan trend ini berlaku bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia," katanya.

- BERNAMA


Sunday, June 20, 2010

KEM KECEMERLANGAN UPSR 2010


Siri program kecemerlangan UPSR diteruskan lagi dengan Kem Kecemerlangan UPSR Fasa 2 pada 15 - 17 Jun yang lalu bertempat di Lata Belantan, Terengganu.

Pelbagai slot motivasi, bengkel dan aktiviti diadakan untuk membantu calon-calon mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR nanti.


Pengisian utama program kali ini ialah para pelajar didedahkan dengan tips-tips soalan UPSR. Selain daripada itu, para pelajar juga didedahkan dengan teknik menghafal formula 'Grammar' untuk Bahasa Inggeris dan juga teknik menjawab soalan -soalan Bahagian B bagi mata pelajaran Sains.

Terima kasih kepada semua warga SKKT yang membantu merealisasikan program ini. Sekalung tahniah buat Puan Hasnah Bt. Ismail ( PK Ptd ) yang bersusah-payah mencari dana, mengatur program dan bersama-sama 'turun padang' bagi memastikan program ini berjaya.

Jom layan gambar-gambar ...


Taklimat ringkas kepada peserta kem

Beratur mendapatkan makanan

Anak kesayangan ' SIR'

Chef DIN - cakap je nak makan apa.....gerenti jadi

Bengkel Matematik

Sediakan makan tengahari

Berbengkel dalam kumpulan

Dewan Makan

SELAMAT HARI BAPA 2010


Assalamualaikum

Hari ni 20 Jun 2010 adalah tarikh untuk kita menghargai bapa/ayah/papa/abah dan sebagainya. Kerana hari ini adalah sambutan Hari Bapa. Hari ini juga adalah merupakan hari ahad ketiga di dalam bulan Jun. Antara negara-negara yang menyambut serentak Hari Bapa ni adalah seperti Malaysia, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Bahamas, Filipina dan sebagainya.

Ayah

Sepohon pokok rendang tua
Ayah duduk memerhatikanku yang sudah dewasa
Membawaku ke sisi dan bercerita lagi kepadaku
Tentang kerinduan yang pernah ada dalam rumah
Tentang kasihan ibu kepada kami
Kata ayah “ibumu selalu sabar
Memahat senyuman pada dedaun padi
Yang menjadi alas kehidupan”

Ayah,
Seperti ibu yang selalu menangis gementar
Memanjat harapan ke hadirat-Nya
Anak-anakmu juga tidak dapat membezakan
Di antara turun hujan dan air matamu
Waktu ayah menghambakan hayat
Menyuah seluruh nafasmu ke bendang
Antara tergesa-gesa dan mengah
Dalam cahaya senja

Ayah,
Anak-anakmu yang sudah dewasa ini
Sesal dan terharu
Bagai kehilangan kuasa lidah
Sekalipun untuk mahu memohon maaf
Atau….
Berbicara tentang cinta dan kasih sayangmu
Yang waktu kecil kami dahulu
Selalu juga gagal …
Gagal kami temui dalam setiap dakapan
Gagal kami hayati dalam setiap bilah rotanmu
Gagal kami dengar dalam setiap doamu
Hanya pelukan yang dapat kami bahasakan
Mengharapkan naluri ayah
bertemu bisik hati kami
Betapa kami….
tidak mampu pun suarakan
saat kami menyusun jari di pangkuan mu
dalam tangisan

Ayah,
Terima kasih kerana airmata mu
Tidak pernah gagal prihatin untuk kami
Terima kasih kerana ingatanmu di hujung rotan
Tidak pernah gagal mengasihani kami
Terima kasih kasih sayangmu yang takjub
Tidak pernah gagal mengingatkan kami dalam hati mu
Terima kasih atas segala susah payah
Tidak pernah gagal memanjatkan doa

Doa ibu membawa ke syurga
Doa ayah jalan ke syurga

Selamat Hari Bapa

Tuesday, May 18, 2010

Selamat Hari Guru 2010


Salam..

Kadang-kadang kita menjadi penjaga kolam..

Kadang-kadang kita menjadi tukang cat..

Kadang-kadang kita menjadi jururawat..

Kadang-kadang kita menjadi seorang doktor..

Kadang-kadang kita lebih banyak menjadi kerani..

Kadang-kadang kita seorang jurulatih sukan..

Kadang-kadang kita menjadi seorang penjaga stor..

Kadang-kadang kita menjadi tukang kebun..

Kadang-kadang kita menjadi tukang rumah..

Teruskan menjadi apa yang kita perlu jadi walaupun kadang-kadang maruah profesion ini direndah-rendahkan,

kerana KITA terlibat dalam pembentukan negara bangsa, berasaskan acuan kita sendiri


SELAMAT HARI GURU 2010!!

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA



Sunday, May 9, 2010

Selamat Hari Ibu

Selamat Hari Ibu

Selamat Hari Ibu buat semua ibu-ibu di Malaysia dan seluruh dunia..... Untuk semua, hayati sajak sempena hari ibu ini..

Selamat Hari Ibu

Ibu..
Di saat ku melihat dunia,
Kau tersenyum menangis gembira,
Tatkala ku dibesarkan,
kau berikan segunung kasih sayang,
Selaut belaian..

Ibu..
Akan ku gapai kejayaan biarpun tanah tak ku pijak,
Akan ku cari kejayaan untuk kau ibu,
Itu lah yang mampu membuatkan kau tersenyum gembira melihat ku,
Akan ku jadikan bunga-bunga di taman,
tempat lebah mencari madu,
Agar madu yang manis membuatkan hidupmu lebih bererti..

Ibu..
Pengorbananmu akan ku balas,
Pengajaranmu sentiasa jadi pegangan,
Biarpun ombak merobek dunia,
Kau tetap ibuku yang satu.

SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU

Thursday, March 4, 2010

SUKANTARA

Sekolah Kebangsaan Kubang Telaga akan mengadakan Pesta Sukan SKKT 2010 pada 10 Mac 2010.Pelbagai acara menarik diadakan untuk memeriahkan program tersebut.

Para pelajar akan bertanding mewakili EMPAT rumah sukan dan dibahagikan kepada TIGA kategori mengikut umur.

Antara acara yang dipertandingkan ialah permainan bola sepak dan bola jaring. Manakala kutipan mata yang melibatkan semua pelajar ialah Sukantara Trek Dan Balapan.

Jom layan gambar-gambar semasa Sukantara yang diadakan pada 3 Mac 2010.