Thursday, November 26, 2009

SALAM AIDIL ADHA 1430 H


Assalamu'alaikum wbt kepada semua.

Jumaat, 10 Zulhijjah 1430H bersamaan 27 November 2009 adalah merupakan antara hari yang amat bermakna kepada umat Islam khususnya bagi mereka yang pergi menunaikan ibadat haji di bumi anbia. Tak lupa juga hari yang terpenting bagi kita menjalankan ibadat korban.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Salam Aidil Adha buat semua sahabat dan kenalan, warga SK Kubang Telaga dan tak lupa pada saudara / saudari se-Islam.

Moga sambutan kali ini membawa seribu keinsafan kepada diri dengan pengorbanan para Nabi dan Rasul serta tokoh-tokoh Islam terdahulu demi memartabatkan agama ISLAM yang tercinta.

Insya Allah.

Wednesday, November 25, 2009

SUKAN KOMUNITI (DUN) JELAWAT

Pada 20 - 21 November 2009 sekali lagi Sekolah Kebangsaan Kubang Telaga dipilih sebagai tuan rumah Sukan Komuniti (DUN) Jelawat.

Aktiviti sukan komuniti yang dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat mampu mengeratkan hubungan sesama pemain antara kampung-kampung.

Penaung Jawatan kuasa Sukan Komuniti DUN Jelawat, Datuk Dr Illias Husain berkata, pertandingan di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Telaga berkenaan melibatkan 22 pasukan.

“Antara kampung terlibat termasuk Kubang Telaga, Alor Bakat, Beoh, Kuchelong, Teratak Pulai, Telaga Ara, Permatang Pasir, Bakong, Pak Badol, Pauh Lima, Tepus dan Gunong.

“Empat jenis permainan diadakan seperti bola sepak, bola tampar, bola jaring dan sepak takraw,” katanya semasa turut serta dalam perlawanan bola tampar di SK Kubang Telaga, semalam.

Menurutnya, sukan komuniti itu mendapat sambutan menggalakkan daripada remaja, belia dan dewasa setempat.

Selain bersukan, persembahan main puteri diadakan bagi membangkitkan semangat kesenian dan kebudayaan di kampung terbabit.

Pertandingan itu mendapat sokongan Jabatan Belia dan Sukan DUN Jelawat dan memberikan reaksi positif berikutan penglibatan pemimpin dalam program itu.

Monday, November 23, 2009

SELAMAT MENUNAIKAN IBADAT HAJI


SERAMAI 26,000 jemaah haji Malaysia telah memulakan ‘pengembaraan’ mereka bersama jutaan umat Islam di seluruh dunia bagi mengerjakan rukun Islam kelima tahun ini.

Sebagai tetamu Allah, ia adalah satu perjalanan yang begitu hebat. Di sana umat Islam tanpa mengira pangkat, kedudukan dan status akan bersama-sama memulakan ‘misi’ penting melakukan satu persatu ibadat tertentu bagi membuktikan mereka hamba yang kerdil kepada pencipta-Nya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap manusia (orang-orang mukmin) mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Barangsiapa yang kufur (ingkar), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada pihak lain (alam).”

Keberangkatan ke Tanah Suci sudah pasti memberi keinsafan tersendiri apatah lagi bagi jemaah yang mungkin pengalaman pertama.

Selama 44 hari di tanah suci pelbagai pengorbanan perlu dilalui tetamu Allah termasuk wang ringgit, meninggalkan keluarga, pekerjaan selain memastikan kesihatan di tahap terbaik.

Dengan iringan doa, setiap tetamu ‘jemputan’ Allah ini berharap mereka dapat menunaikan ibadat wajib berkenaan dengan sempurna dan pulang dengan haji mabrur.

Mengikut sejarah awal, ibadat haji ini dibawa junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w sebagai satu usaha menyambung ajaran Nabi Ibrahim. Mengerjakan haji ini mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Allah s.w.t mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk.”

Pada permulaan ibadat itu, Rasulullah s.a.w bersama kira-kira 1,500 umat Islam berangkat ke Makkah tetapi gagal mengerjakannya kerana dihalang kaum Quraisy sehingga termeterai Perjanjian Hudaibiah yang membuka jalan bagi mengembangkan Islam.

Selepas perjanjian itu, pada tahun berikutnya, tahun ke-7 Hijrah, 2,000 umat Islam mengerjakan umrah bersama-sama Nabi Muhamad s.a.w.

Namun, haji yang sempurna hanya dapat dilakukan pada tahun ke-9 Hijrah apabila Rasulullah s.a.w mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengepalai 300 umat Islam mengerjakan haji.

Sepanjang hayat Nabi Muhammad s.a.w, baginda menunaikan fardhu haji sekali saja. Haji itu dinamakan ‘Hijjatul Wada’, Hijjatul Balagh dan Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji berkenaan baginda wafat.

Rasulullah berangkat ke Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat seramai lebih 90,000 orang.

Baginda melakukan amalan seperti sunat ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali iaitu 10km dari Madinah.

Rasulullah sampai di Makkah pada 4 Zulhijjah selepas melakukan perjalanan selama 9 hari. Kemudian baginda berangkat ke Mina pada 8 Zulhijjah dan bermalam di situ.

Pada 9 Zulhijjah Rasulullah berwukuf di Arafah yang pada hari itu jatuh pada hari Jumaat dan merayakan Aidiladha di sana.

Rasulullah s.a.w menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Pada hari terakhir pada 14 Zulhijjah, baginda meninggalkan Makkah pulang ke Madinah.

KEPUTUSAN UPSR 2009

Keputusan UPSR 2009 telah pun diumumkan. Penantian pelajar-pelajar tahun 6 sudah pun berakhir.

Adik Mohd Syazwan bin Abdul Aziz berjaya memperolehi keputusan cemerlang 5A. Tahniah dan syabas diucapkan. Adik Mohd Syazwan juga merupakan Ketua Pengawas Sekolah.


Empat orang pelajar berjaya memperolehi 4A 1B. Peratusan keseluruhan sekolah ialah 69.4 %.

Tahniah kepada semua pelajar.

Wednesday, November 18, 2009

CINTAI BAHASA KITA

Pada 01 November 2009 pihak sekolah mengadakan MINGGU BAHASA MELAYU. Terdapat pelbagai aktiviti menarik dianjurkan dalam Minggu Bahasa Melayu pada kali ini.

Para pelajar turut dijemput untuk memeriahkan program yang telah dirancang oleh Panitia Bahasa Melayu dengan kerjasama Persatuan Bahasa Melayu dan Pusat Sumber Sekolah.

Semoga aktiviti yang dijalankan dapat memberi manfaat kepada kita semua. Insya Allah.

Menyanyikan lagu Bahasa Jiwa Bangsa

Guru Besar Tn. Hj. Azhari Bin Ismail
merasmikan Minggu Bahasa Melayu

Antara aktiviti yang dijalankan

Guru Besar menyampaikan hadiah kepada
pemenang

JAMUAN AKHIR TAHUN


Adalah dimaklumkan majlis diatas terpaksa ditunda kepada tarikh dan masa sebagaimana makluman berikut :

Hari : Jumaat
Tarikh : 20 November 2009
Masa : 8.30 malam
Tempat : New Horizon Garden, Kota Bharu, Kelantan

Segala kesulitan amat dikesali.

Sekian. Terima kasih.

AYUH CEGAH DENGGI

KEMPEN AYUH CEGAH DENGGI


Pada 5 November 2009 bertempat di Sek Keb Kubang Telaga telah diadakan satu kempen gotong-royong yang dinamakan "Kempen Ayuh Cegah Denggi".

Kempen ini telah dijayakan hasil gabungan semangat dan kesedaran daripada semua murid, guru dan kakitangan sekolah.

Pelaksanaan kempen ini adalah bertujuan untuk menyampaikan mesej berhubung langkah pencegahan denggi dan kepentingan menjaga persekitaran bagi mengawal dan membanteras penyakit berbahaya yang berpunca daripada nyamuk Aedes.

KEM BAKAT BOLA TAMPAR

KEM BAKAT BOLA TAMPAR 2009

Pejabat Pelajaran Daerah Bachok telah mengadakan Kem Bakat Bola Tampar bawah umur 11 tahun.Program tersebut diadakan di Sekolah Kebangsaan Kubang Telaga pada 30 dan 31 Oktober 2009.

Para peserta terdiri daripada pelajar yang mewakili ZONPEN masing-masing. Objektif utama program ini adalah untuk mendedahkan teknik-teknik latihan dan permainan yang sebenar kepada para peserta.

Sesi pemanasan badan yang sistematik dan EMPAT kemahiran asas permainan bola tampar iaiutu servis,menyangga,merejam dan menghadang diberikan penekanan sepanjang kem tersebut.

Penyelia Pelajaran ( Sukan ) PPD Bachok,Tn. Hj.Mohd Zabhi Bin Daud meminta para peserta Kem Bakat akan terus berlatih apabila kembali ke sekolah masing-masing. Adalah diharapkan pasukan MSSD Bachok akan lebih menyerlah dalam Kejohanan MSSK Kelantan pada tahun hadapan.

Peserta begitu bersemangat mendengar penerangan daripada jurulatih

Jurulatih Kem Bakat

Sesi memanaskan badan

Tunjuk ajar daripada jurulatih

Tn. Hj. Mohd Zabhi Bin Daud PPD Bachok ( baju biru )
hadir memeriahkan majlis